KUALA LUMPUR : Lebih 40 bintang antarabangsa bersama artis tempatan dengan pelbagai genre muzik bakal dihimpunkan sempena penganjuran sulung Festival Supalapa.
Festival tersebut dijadualkan berlangsung selama dua hari pada 2 dan 3 Mac 2024 di Resorts World Awana, Genting Highlands.
Prodigy 1Nation bersama rakan kongsi festival ini iaitu Maestro Productions telah melaksanakan pelbagai konsert di seluruh Eropah, Kanada dan Asia. Festival Supalapa merupakan festival muzik pertama mereka di Malaysia.
Menerusi Festival Supalapa, pengunjung yang hadir boleh menikmati tiga genre muzik sekali gus dari EDM, Pop dan K-POP.
Kesemua genre muzik ini dipersembahkan di atas pentas masing-masing iaitu di Live Stage, EDM Stage dan Pool Stage.
Festival ini membariskan selebriti antarabangsa antaranya Tiësto, The Kid Laroi, EAJ, Somi, XG, Ali Gatie, Armani White, Tones and I, Ian Asher, Keemokazi, Paul Van Dyk, Rave Republic dan Notep akan membuatkan para pengunjung teruja sepanjang dua hari acara diadakan.
Bersama-sama mereka juga adalah bintang tempatan iaitu Yuna, Saixse, Kidd Santhe, Talitha, Cluadia, Belle Sisoski, Jovynn, Coex, Forceparkbois dan DJ Ziqq Axel Groove juga bakal memukau pengunjung dengan persembahan mereka.
Dalam pada itu, para pengunjung di Festival Supalapa, akan menikmati pelbagai keseronokkan termasuk pengalaman di ‘Wrestling Ring’, ‘Bali Swing’, ‘Carnival Games’ dan ‘Silent Cinema’ dengan menggunakan pembayaran secara sistem RFID.
Menurut Pengerusi Maestro Production And Prodigy 1 Nation, Parthiban Murugaiya, Festival Supalapa akan menjadi penanda aras kepada pesta hiburan di Malaysia.
“Kami berharap penganjuran pertama Festival Supalapa akan menjadi acara yang tahunan yang ditunggu-tunggu kerana pengunjung bakal menemukan semua jenis hiburan bukan sekadar muzik di dalam satu festival.
“Apa yang penting juga adalah Festival Supalapa mampu membantu melonjakkan nama Malaysia dalam kalangan pelancong dari luar negara kerana di sini mereka akan menemukan sebuah hub hiburan setaraf penganjuran antarabangsa.
“Kami juga mahu Supalapa menjadi sebuah jenama global untuk festival muzik kerana ia bukan sekadar tentang hiburan tetapi kami memberikan keseronokan tanpa limitasi sesuai dengan objektif penganjuran iaitu menjadi hub hiburan yang membuat pengunjung teruja,”katanya.
Dalam masa yang sama, Pengarah Festival, Addam Al Maleq yakin Festival Supalapa akan menjadi acara hiburan yang menyajikan pengalaman muzik yang luar biasa di Resorts World Awana.
Untuk itu, layari supalapa.com untuk sebarang pertanyaan dan pembelian tiket.