KUALA LUMPUR :Menyifatkan dirinya sebagai seorang wanita ‘workaholic’, pelakon, Rita Rudaini, 48, mengakui sangat fokus dengan kerja seni lakon gara-gara enggan membiarkan diri berasa bosan di rumah.
Bagaimanapun, menurut Rita, kehidupannya perlahan-lahan berubah setelah dikurniakan dua anak lelaki iaitu Airit Rayyan Rizqin, 15, dan Airit Qaqa Arjuna yang kini berusia 13 tahun.
“Sejak ada mereka, hidup saya berubah. Saya kerja sebulan dan kemudian dua tiga bulan akan berehat untuk luangkan masa dengan mereka. Kalau mereka sekolah, saya tak akan ambil job yang perlu ke luar daerah.
“Saya akan tolak. Tak mengapa, bagi saya, rezeki akan tetap ada. Saya kena pandai bahagikan masa untuk mereka kerana masa kecil mereka tak akan datang kembali. Saya kena berkorban,”katanya dalam satu hantaran di Instagram semalam.
Selain itu, kata Rita, nasibnya sebagai seorang ibu tunggal juga menyaksikan dirinya perlu menanggung segala perasaan dan emosi sendirian meskipun mengakui adakala berdepan dengan situasi sukar dalam hidup.
“Saya seorang yang tanggung mereka, segala-galanya. Pedih, suka, duka saya rempuhi sahaja. Saya pernah tiga tahun kehilangan pekerjaan sebab Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa pandemik. Orang lain yang makan gaji, tetap terima gaji macam biasa.
“Pekerja yang tak makan gaji macam saya? Masak… apatah lagi tidak dibenarkan bekerja sebab tak vaksin. Macam mana saya dan anak-anak survive? Segala duit simpanan saya gunakan dan berharap hanya pada Allah SWT,”katanya.
Tambah pelakon drama Kerasnya Takdir ini, dia juga mempunyai sebab mengapa mahu8 memastikan anak-anaknya mendapat pendidikan terbaik sejak dari mula bersekolah.
“Keinginan saya hanya untuk kehidupan anak-anak. Susah payah saya berbaloi bila saya dapat beri pendidikan yang terbaik dan selesa untuk anak-anak. Bukan untuk berlagak bagi mereka sekolah swasta.
“Tapi saya tak pernah rasa di masa kecil. Apa salahnya saya tengok anak-anak merasa. Memang belanja agak besar untuk saya tanggung seorang diri, tetapi bagi saya, nak seribu daya tak nak seribu dalih.
“Saya rempuh juga dalam keadaan mencabar dan hampir nyawa-nyawa ikan jugalah. Tetapi saya percaya, Allah ada bersama saya. Insya-Allah, Dia akan permudahkan,”katanya.
Dalam pada itu, kata Rita, dia juga amat memahami perasaan ibu tunggal lain yang senasib dengannya.
Katanya, wanita berstatus ibu tunggal sepertinya, ada ketika terlupa bila kali terakhir berkata penat atau letih atau menangis sendirian.
“Tak tahulah bila kali terakhir perkataan penat dan letih keluar daripada mulut dan bila kali terakhir menangis kepenatan.Saya pun dah tak ingat.
“Sebab saya tak sempat untuk melayan perasaan-perasaan itu semua kerana terleka dengan figura anak-anak kecil yang dah makin membujang depan mata. Saya percaya, ibu-ibu tunggal di luar sana sama macam sata dan punya kisah-kisah sendiri,”katanya.
Untuk rekod, Rita pernah mendirikan rumah tangga dengan pemain bola sepak Johor Darul Takzim (JDT) iaitu Aidil Zafuan pada 2008.
Namun ikatan perkahwinan mereka berakhir dengan perpisahan apabila pasangan itu bercerai pada September 2023.