SEOUL: Agensi bakat HYBE Corporation memberi amaran kepada aplikasi, The Camp, yang didapati telah menggunakan gambar artis mereka iaitu kumpulan terkenal BTS tanpa izin.
Amaran itu dikeluarkan selepas aplikasi berkenaan memperkenalkan ciri khas ‘Recommended Star Soldier’ menunjukkan beberapa nama dan wajah ahli kumpulan BTS yang ketika ini sedang menjalani latihan tentera.
Menurut HYBE, tindakan The Camp yang menggunakan gambar BTS tanpa izin jelas melanggar undang-undang harta intelektual syarikatnya.
Pemilik dan pengurusan aplikasi itu bukan sahaja menggunakan nama dan wajah ahli BTS, malah menghasilkan cenderahati termasuk patung bernilai 50 ribu won (RM176) dan tag nama ahli pasukan BTS tanpa izin.
“Kami tidak boleh mengambil ringan perkara ini kerana mereka telah mengambil kesempatan dengan promosi yang dilakukan.
“Tindakan mereka telah memberi kesan kepada syarikat serta mempergunakan peminat BTS dengan helah yang dilakukan.
“Kami telah mengirimkan amaran kepada pihak aplikasi berkenaan dan menegaskan bahawa mereka telah melanggar hak publisiti dengan menggunakan nama band tanpa izin,” kata mereka menerusi satu kenyataan.
The Camp merupakan aplikasi khas yang digunakan pelatih untuk berhubung dengan keluarga mereka sepanjang latihan.
Tindakan mereka telah menerima kritikan oleh masyarakat Korea Selatan.
Tidak lama selepas itu, The Camp dilihat sudah memadam gambar BTS serta memuat naik penerangan ‘Ini bukan akaun rasmi BigHit Music’ di aplikasi tersebut.
Pihaknya juga telah menghentikan sebarang jualan cenderamata selepas amaran berkenaan.