KUALA LUMPUR : Penyanyi dan komposer, Amylea Azizan berang apabila mendapati terdapat ejen insurans yang tergamak menggunakan berita penyakit ayahnya, Allahyarham Azizan Zainal Abidin sebagai modal untuk mempromosi pekerjaannya.
Sehubungan itu, Amylea meminta supaya individu terbabit segera membuat permohonan maaf terbuka atau berdepan tindakan saman.
Tidak cuma itu, Amylea juga menggesa supaya individu utu memadam kandungan dalam media sosial yang dianggap memfitnah bapanya.
“Sebelum saya saman, tolong beritahu pemilik akaun ini turunkan (kandungan media sosial) dan buat permohonan maaf secara terbuka.
“Disebabkan hantaran ini, telah jatuh fitnah terhadap arwah ayah. Anda semua kena faham ketika Covid-19 hospital kerajaan penuh,” katanya menerusi hantaran dalam Instagram Story.
Komposer lagu Melepaskanmu itu turut berkongsi paparan tangkap layar akaun media sosial milik individu yang didakwa turut membuatkan keluarganya tersinggung.
Kata Amylea, seorang ejen insurans perlu ada kredibiliti serta bersikap telus, bukan mempergunakan kesusahan orang lain demi mengaut keuntungan.
“Kalau nak jual insurans pun beragaklah. Jangan sampai ‘posting’ kau buatkan sakit hati keluarga aku.
“Dalam masa sama buat orang (netizen) mengata keluarga kami dan arwah sekali.
“Kalau bapa kau tak diterima di hospital kerajaan sebab penuh kes Covid-19, kau biarkan begitu sahaja?” ujarnya.
Sebelum itu, pihak yang didakwa mempergunakan kisah ayah Amylea memaparkan berita penyanyi terbabit meminta sumbangan orang ramai bagi menampung kos rawatan sakit jantung bapanya pada Julai 2021.
Perkara tersebut dipercayai dilakukan individu terbabit sebagai cara untuk menunjukkan kepentingan mengambil insurans.
Menurut penggiat seni berusia 38 tahun itu, doktor pada waktu itu menasihatkannya membawa ayah ke pusat perubatan swasta disebabkan wad hospital penuh susulan peningkatan kes Covid-19.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 62 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) pada 11 Ogos 2021.