KUALA LUMPUR : Selebriti dan pemyampai radio Suria FM, Sharifah Shahirah berharap selepas dia membuat perkongsian mengenai kesusahan yang menimpa Aman Graseka, di media sosial, pelakon senior tersebut tidak akan lagi perlu meminta bantuan daripada rakan-rakan selebriti lain dalam industri seni.
Menurut Shahirah di Instagram, dia tahu terdapat rakan selebriti lain yang menerima mesej serupa daripada pelakon tersebut sebelum ini dan berharap perkara itu dapat dihentikan sekiranya Aman telah mendapat bantuan selayaknya.
Pada masa yang sama, Shahirah cuba memahami situasi Aman yang mungkin dalam keadaan terdesak melalui kepayahan hidup kini.
“Bila saya keluarkan benda sebegini, dapat tahu ramai kawan artis tolong Aman sebab ramai dia mesej artis lain walaupun tak tahu mana dapat nombor kami.
“Tapi kami kenalan Aman, sedih bila tahu dia susah. Mungkin dia dalam kehidupan yang terdesak.
“Harap-harap pada masa depan tak akan ada mesej seperti ini sehingga ada yang tak rapat pun dia terpaksa meminta,” katanya.
Dalam pada itu, Shahirah meluahkan rasa syukur apabila pengikut dan ramai rakan artis sudi membantu Aman yang sedang dilanda ujian.
Shahirah berharap sumbangan itu dapat membantu pelakon filem Cinta Kita itu mengembangkan perniagaan diusahakan bersama isterinya.
“Alhamdulillah terima kasih kepada pengikut saya yang membantu Aman Graseka. Semoga sumbangan itu boleh buat modal berniaga.
“Kita doakan dia tak perlu minta-minta lagi dalam kalangan kawan-kawan artis. Kita doakan dia senang, perniagaan maju dan rezeki sentiasa murah serta sihat,” katanya.
Sebelum ini Shahirah ada memuat naik tangkap layar mesej Aman memohon bantuan bagi memberi anak-anaknya makan.
“Semoga pagi Jumaat ini ada rezeki anak-anak hamba nak buat makan,” tulis teks berkenaan.