KUALA LUMPUR : Pelawak dan pengacara, Syamsul Ghau Ghau, mengakui kini lebih selesa untuk dikenali dengan panggilan Pak Su seiring dengan peningkatan usianya yang kini telah mencecah angka 55 tahun.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Syamsul berkata, panggilan itu juga tidak asing di kalangan mereka yang mengenali dirinya di luar industri hiburan.
“Daripada dulu, semua orang panggil saya Pak Su sebab saya ini anak bongsu dalam adik-beradik. Jadi bila umur dah makin meningkat ini, sesuailah panggil Pak Su. Pak Nil pun dulu dikenali dengan nama Aznil Nawawi tetapi sekarang selesa dipanggil dengan nama itu.
“Kebetulan, semasa tiga tahun kita semua lalui ‘era’ Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Covid-19,saya banyak buat bacaan Al-Quran secara atas talian dan buat program, jadi saya guna nama Pak Su di media sosial,”katanya.
Selain itu, kata Syamsul, dia juga selesa menggunapakai panggilan Pak Su ketika mengacarakan sesebuah majlis atau program kini kerana dilihat lebih sesuai.
“Begitu juga dengan berlakon dan berada di set penggambaran, saya biasakan diri dengan panggilan Pak Su. Iyalah, sudah meningkat usia begini, janggut pun sudah putih. Jadi saya sedarlah diri,”katanya.
Dalam pada itu, ditanya mengenai perkembangan kerjaya, kata Syamsul, dia tidak pernah menghilang daripada radar dunia hiburan meskipun ada yang beranggapan dia kini tidak selalu kelihatan di kaca televisyen.
“Sebenarnya, sejak beberapa tahun lalu, saya banyak mendalami dan belajar tentang Al-Quran. Bila belajar ilmu agama ini, bagi saya kita tak boleh tinggal sekali pun kelas. Kalau demam atau sakit pun saya akan masuk juga kelas.
“Bila dah jatuh cinta dengan Al-Quran, saya akan utamakan kelas dahulu berbanding tawaran yang tidak sesuai dengan jadual kelas saya waktu itu. Tawaran itu ada sahaja, tetapi kalau tak kena waktu, saya terpaksa tolak cara baik,”katanya.
Selain itu, kata Syamsul, dia juga pernah merancang untuk menyambung pengajian dalam bidang ilmu Al-Quran di Mesir namun hasrat tersebut tidak kesampaian lagi atas beberapa faktor yang menghalang.
Kata Syamsul, antara sebabnya kerana dia terpaksa bekerja dahulu dan mengumpul wang demi kelangsungan hidup keluarga.
“Masa PKP, kita semua tak boleh keluar bekerja, jadi secara tidak langsung, dibebani dengan hutang yang sentiasa berjalan.Sekarang ini, bila dapat peluang jadi pengacara atau berlakon, saya akan buat demi membayar hutang piutang tiga tahun lalu.
“Tambahan pula, anak-anak pun semakin membesar dan dapat sambung pengajian ke universiti, jadi sudah tentu memerlukan wang.
“Mungkin selepas semuanya sudah diselesaikan, kewangan keluarga pun semakin kukuh, saya akan teruskan hasrat untuk ke Mesir bagi mendalami bidang yang diminati,”katanya.