Sumbangan kita juga boleh dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab - Kimal Margasatwa - Utusan Malaysia

Sumbangan kita juga boleh dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab – Kimal Margasatwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penyanyi dan vokalis kumpulan Margasatwa, Kimal, tidak menolak mungkin ada segelintir pihak atau masyarakat menganggap bahawa golongan seni dan pemuzik seolah tidak memberi sumbangan kepada gerakan solidariti terhadap rakyat Gaza di Palestin.

Bagaimanapun, menurut Kimal, perkara itu disangkal olehnya dengan menyifatkan anak seni mempunyai cara tersendiri dalam menegakkan nilai solidariti sebagai tanda peduli dengan nasib saudara Islam di Palestin.

“Saya sedar bahawa dari jauh, kita sebagai anak seni ini mungkin terbatas dalam bantuan yang dapat diberikan. Walaupun setiap sumbangan seikhlas hati adalah penting, tetapi ia juga boleh dimanipulasikan pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Namun begitu, saya percaya, doa memiliki kekuatannya yang tersendiri yang tidak boleh dipergunakan oleh pihak tersebut. Doa adalah satu- satunya senjata kita yang bagi saya, sangat eksklusif,”katanya.

Selain itu, kata Kimal, dia juga percaya, muzik juga mempunyai kuasa magis dalam menyebarkan fahaman dan seruan untuk sama-sama peduli akan nasib rakyat Palestin.

Sehubungan itu, Kimal berkata, dia telah mencipta sebuah karya terbaharu berjudul Doa Buat Gaza di bawah terbitan Luncai Emas yang ditujukan khas buat semua masyarakat terutama buat rakyat di Gaza.

“Pada asalnya ia merupakan sebuah puisi yang berjudul Doa Buat Gaza dan ia sebenarnya telah dihasilkan pada tahun 2012. Karya itu merupakan cerminan reaksi saya terhadap kekejaman Israel yang menyerang Gaza dan keganasan yang terjadi di sana waktu itu.

“Terketar dan terkesan dengan nasib saudara di Palestin, puisi ini kemudiannya diubah menjadi sebuah lagu.

“Sedih dan menyayat hati dengan apa yang berlaku terhadap saudara kita di Palestin. Namun dalam masa yang sama, saya sangat berbangga dengan kekuatan dan kehebatan mereka menentang kekejaman Israel. Semoga kemenangan milik Palestin, InsyaAllah,”katanya.

Menurut Kimal, kolaborasi dengan Mafidz, iaitu Megat Aizzat, Megat Fazly, dan Megat Hafidz juga merupakan sebuah kolaborasi yang disifatkan kreatif.

“Saya kenal mereka sejak tahun 2015 lagi sebelum wujudnya Margasatwa dan Mafidz. Mereka antara rakan kreatif pertama yang boleh saya berkongsi rasa, idea dan cita-cita bersama mereka.

“Kita tak pernah berkolaborasi secara rasmi, maka ini adalah lagu yang tepat pada waktu yang tepat.
“Projek ini juga menjadi salah satu cabang kreatif saya, untuk menguji kebolehan saya sebagai seorang artis, komposer, dan penerbit,”katanya.

Tambah Kimal, dia tidak melibatkan kumpulannya, Margasatwa dalam projek ini kerana rakan-rakannya itu sedang menyiapkan album baharu.

Dalam pada itu, kata Kimal, dia menggesa semua pihak untuk sama-sama menyebarkan kesedaran mengenai apa yang berlaku di Gaza selain mengingatkan orang ramai tentang betapa pentingnya mensyukuri keamanan negara dari porak-peranda dan kemusnahan peperangan.

Lagu Doa Buat Gaza telah dirakam di studio Resonant Pribadi untuk bahagian vokal, manakala gitar dan alat lain dimainkan dan dirakam sendiri di Studio Gemunggal di Penerbitan Tongkat Sakti, milik Kimal.
Single Doa Buat Gaza telah pun sedia untuk didengari di pelbagai platform digital.

Selain daripada lagu, pendengar boleh juga melihat video muzik Doa Buat Gaza di saluran Youtube Luncai Emas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya