SHAH ALAM : Penyanyi, Azharina Azhar mengakui tidak akan memberi muka kepada individu yang telah merosakkan imejnya menerusi penyebaran video persembahan ‘busking’ La BamBa yang menjadi tular di media sosial baru-baru ini.
Malah, kata Azharina, dia juga akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya individu terbabit didapati masih berterusan melakukan perkara tersebut (menjatuhkan reputasinya).
Menurut Azharina, pihaknya juga telah berbincang dengan peguam yang telah dilantik sekitar minggu lalu mengenai isu ini.
“Saya tanya pendapat peguam mengenai hal ini. Semua bukti-bukti sudah saya kumpul termasuk komen-komen netizen.
“Kalau dia teruskan perkara ini, saya tidak akan berkompromi untuk mengambil tindakan seterusnya kerana ini satu hal berlebih-lebihan,” katanya.
Azharina berkata demikian semasa ditemui media selepas konsert separuh akhir All Stars Gegar Vaganza (GV10) di sini, semalam.
Sementara itu,mengulas mengenai dakwaan menipu ketua juri GV10, Datuk Ramli MS berhubung isu pernah menyanyikan lagu La Bamba, Azharina berkali-kali menegaskan bahawa dia tiada niat untuk berbohong.
Katanya, ini kerana dia sememangnya langsung tidak mengingati persembahan busking tersebut yang telah berlalu sekitar tujuh tahun lepas.
“Kalau anda berada di posisi saya, disoal bertubi-tubi, bolehkah anda ingat semula memori tersebut? Pasti tidak.
“Sejujurnya memang tidak ingat perkara itu pernah berlaku. Saya disoal adakah pernah nyanyi lagu La Bamba di majlis makan malam. Jawapannya memang tidak pernah,” ujarnya.
Pelantun lagu Elegi Sepi itu menegaskan nyanyiannya pada persembahan busking itu juga tidak sempurna dan disifatkan huru-hara.
“Jujur saya beritahu, memang tidak boleh ingat, persembahan pula secara spontan. Nyanyian pun huru-hara, di tepi jalan pula.
“Persembahan busking itu berlaku sekitar tujuh tahun lalu di ibu negara dan diminta untuk menyanyi lagu La Bamba secara spontan dan hasilnya memang tunggang-langgang.
“Bolehkah anda ingat apabila sudah melakukan banyak persembahan ditambah pula perlu menelan ubat sebanyak 32 biji sehari,” katanya lagi.
Minggu lalu, nama Azharina tular selepas muncul sebuah video dia menyanyikan lagu La Bamba milik Los Lobos secara busking di hadapan sebuah pusat beli-belah di ibu negara.
Video tersebut mula tular apabila ada pihak mendakwa dia menipu Ramli MS kerana menyatakan tidak pernah menyanyikan lagu tersebut dalam mana-mana persembahan sebelum ini.
Pertanyaan tersebut diajukan oleh Ramli selepas persembahannya pada konsert suku akhir GV10 minggu lalu namun dinafikan Azharina.