KUALA LUMPUR : Menyedari bahawa dirinya dihentam gara-gara tampil sebagai juri undangan program All Stars Gegar Vaganza (ASGV) pentas akhir baru-baru ini, penyanyi bertaraf Ratu Rock negara, Ella, enggan terlalu mengambil pusing mengenai perkara tersebut.
Malah, bercakap kepada Utusan Malaysia, Ella atau nama sebenarnya, Nor Zila Aminuddin, 57, berkata, dia juga tidak tersinggung dengan kritikan yang diberikan orang ramai berhubung cara penyampaiannya sebagai juri.
“Tidak mengapalah kalau ada yang kritik saya. Bagi saya, semua orang berhak punya pandangan masing masing. Saya percaya pihak penganjur Astro juga ada pandangan dan sisi yang berbeza dan kemudian menjemput saya.
“Mungkin konsert Jilid Akhir Ella Jun lalu yang telah habis terjual selama dua malam di lokasi yang sama menjadi satu tarikan bagi mereka untuk menjemput saya.
“Sejujurnya, saya tidak tersinggung malah berasa dihormati menjadi persembahan pembuka dan seterusnya menjadi juri jemputan dalam masa yang sama,”katanya.
Ella berkata demikian semasa dihubungi bagi mengulas mengenai kritikan yang dilemparkan kepadanya gara-gara dikatakan tidak bernas dalam memberi komen selain tidak layak duduk di kerusi juri.
Dalam pada itu, kata Ella lagi, mengenai komen yang dianggap tidak bernas, baginya, perkara itu adalah subjektif kerana lain orang lain cara penerimaannya.
“Saya bukanlah juri tetap untuk komen secara teliti mengenai persembahan setiap peserta.
“Rasanya, saya tidak perlu buktikan apa apa melalui komen yang dianggap bernas namun kemudian menjadi buah mulut rakan rakan peserta dan semua penonton lain akibat dari pemerhatian dan pandangan cuma melalui dari satu episod.
“Jadi saya memilih untuk meraikan semua kerana mereka adalah yang terbaik di dalam pertandingan tersebut,”katanya.