KUALA LUMPUR: Pelakon, Zoey Rahman mengakui, sebagai selebriti yang turut menjadikan bidang keusahawanan sebagai kerjaya, dia perlu berjiwa kental dengan menjadikan setiap sindiran dan kata-kata makian yang diterimanya sebagai semangat untuk memajukan perniagaan.
Menurut Zoey, 38, dia cuba untuk pekakkan telinga walaupun kadangkala hatinya terguris apalagi kata-kata itu datang daripada individu yang dikenali.
“Sepanjang saya berniaga sejak 2018, bermacam-macam kata dan sindiran yang saya terima. Saya pernah dituduh menipu pelanggan kerana tidak pakai produk yang dijual dan hanya buat muka.
“Demi Allah, saya pakai semua produk yang saya jual. Ada yang tikam saya, bukan dari belakang, malah depan mata. Mereka itu pula ialah orang yang saya kenal. Saya belajar untuk buat tidak tahu sahaja.
“Kata-kata yang mengentam itu membuatkan saya berkobar-kobar untuk membuktikan produk penjagaan wajah saya boleh berjaya,” katanya.
Zoey ditemui Utusan Malaysia di majlis anugerah Shopee Super Awards 2023 di Kuala Lumpur semalam.
Selain itu, Zoey berkata, dia juga rajin mengadakan sesi siaran langsung jualan di platform e-dagang pada jam empat pagi demi minat yang mendalam dalam dunia perniagaan meskipun terpaksa berdepan dengan masalah rabun mata kini.
Bagaimanapun, apa yang menghampakan pelakon ini, usahanya itu telah disalah anggap sehingga ada yang menuduh pelakon itu sudah tidak popular menyebabkan dia terpaksa menggandakan usaha akibat tidak mampu membayar pekerja.
“Jujurnya, saya tidak kisah untuk jual produk dan buat siaran langsung sampai pukul tiga, empat pagi. Saya buat kerana minat.
“Tapi ada yang menuduh saya tidak laku dalam bidang hiburan dan gagal menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang bagus kerana tidak duduk di dalam bilik pendingin hawa seperti CEO yang lain.
“Mereka tidak tahu, Datuk Sri Siti Nurhaliza, Jovian masing-masing adalah CEO di syarikat yang besar dan maju. Mereka sendiri turun padang dan buat sesi jualan siaran langsung di platform e-dagang masing-masing,” tambahnya.
Zoey bersyukur kerana produk MIKA series menjadi antara produk tempatan yang layak untuk dijual di pasaraya besar di samping produk Simplysiti milik Datuk Sri Siti Nurhaliza.
Semasa majlis berlangsung malam tadi, Zoey menerima anugerah industri e-dagang terunggul Shopee Super Awards 2023, melihat kepada prestasi cemerlang perniagaannya di platform itu sepanjang tahun ini.
Selain Zoey, antara selebriti yang turut menerima penghargaan tersebut ialah Neelofa, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Datuk Jovian dan Ainul Aishah.