Poster filem Sijjin seolah tidak sensitif - David Teo - Utusan Malaysia

Poster filem Sijjin seolah tidak sensitif – David Teo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penerbit terkemuka tanah air, Datuk David Teo, menyelar tindakan produksi filem Sijjin yang disifatkan tidak sensitif menghasilkan poster filem tersebut.

Menerusi satu perkongsian di Instagram, kata David, produksi filem Indonesia itu seolah-olah sengaja menggunakan kalimah Allah SWT pada poster tersebut sehingga membuatkan ramai kalangan umat Islam tersinggung.

Jelas David, perkara tersebut tidak seharusnya berlaku walaupun hanya untuk sesebuah karya filem.

“Sebagai seorang yang dekat dalam masyarakat yang memegang agama Islam, kita perlu sentiasa peka dalam hal ini,” katanya.

Dalam pada itu, David turut berharap isu membabitkan sensitiviti agama dalam mana-mana filem antarabangsa mahupun tenpatan tidak berulang dan dijadikan iktibar.

“Semoga isu ini tidak lagi berulang untuk semua yang berada di industri seni kita,” katanya lagi.

Sebelum ini, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) juga sudah mengarahkan Golden Screen Cinemas (GSC) selaku pengedar filem seram terbitan syarikat produksi Indonesia, Sijjin untuk menarik balik dan membuat penukaran poster.

Arahan tersebut dikeluarkan susulan poster rasmi dilihat menyentuh sensitiviti umat Islam apabila memaparkan kalimah ‘Allah’ dalam bahasa Arab pada kain hitam yang membaluti seorang wanita dipercayai sedang dirasuk.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, pihaknya sudah berbincang dengan GSC dan mengarahkan supaya membuat penukaran kepada poster baharu.

Hasil tinjauan mendapati poster kontroversi tersebut tidak lagi digunakan oleh GSC dalam mana-mana platform media sosial termasuk laman web rasmi mereka.

GSC sebaliknya menggunakan poster memaparkan jenazah yang dikelilingi sekumpulan individu menyarung telekung berwarna putih.

Paparan kalimah Allah dan ayat al-Quran pada kain hitam yang membaluti seorang wanita dipercayai sedang dirasuk itu disifatkan keterlaluan malah tidak sepatutnya digunakan dalam mana-mana bahan promosi filem.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya