KUALA LUMPUR : Penyanyi, Datin Alyah, 42, menolak andaian bahawa dia bersungguh-sungguh mahu menguruskan berat badan dengan melakukan pembedahan bariatrik disebabkan mahu menjalani rawatan kesuburan in-vitro (IVF).
Isteri Datuk Ramli MS atau Tok Ram ini berkata, dia hairan bagaimana khabar angin itu muncul kerana setakat ini tidak pernah merancang melakukan rawatan IVF semata-mata kerana mahu menimang cahaya mata bersama suami.
Malah, tegas Alyah, pembedahan bariatrik itu dilakukan kerana dia mengalami gastrik yang teruk.
“Mengenai soal zuriat, saya serah pada Allah SWT sebab Dia adalah sebaik-baik perancang. Saya tahu jawapan itu klise.
“Tapi, memang kita hanya akan dapat jawapan apabila kita serahkan segalanya pada Dia dan secara tidak langsung bebanan kita juga akan hilang.
“Itu juga yang saya belajar daripada orang bijak pandai dalam bidang agama bahawa cara kita menolong diri kita dalam setiap keputusan adalah meminta daripadaNya,” katanya.
Dia berkata demikian semasa ditemui pada majlis Kempen Lose to Win anjuran Persatuan Sukan, Rekreasi dan Kesihatan Kuala Lumpur, di sini, baru-baru ini.
Selain itu, Alyah juga mengakui, pada awalnya dia memang tertekan apabila sering diajukan soalan mengenai zuriat.
“Saya juga punya adik-beradik ramai dan tiada seorang pun mempunyai masalah untuk mendapatkan zuriat. Tapi, bila saya mengikut perkongsian Ustaz Wadi, beliau ada mengatakan, dapat anak adalah rezeki dan tidak dapat anak juga satu rezeki.
“Saya fikir betul juga. Sebab saya ada anak saudara. Abang saya sudah meninggal dunia. Kita nak kena tengokkan juga. Begitu juga dengan sepupu yang pendapatannya kurang.
“Dari situ, saya rasa sungguh baik sekali perancangan Allah SWT. Mungkin, kalau saya ada anak, kasihan juga mereka. Jadi, bila saya dapat bantu, ia membuatkan saya gembira dan Tom Ram pun okay juga,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai pembedahan bariatrik dilakukannya itu, Alyah berkata, dia sudah berfikir sedalam-dalamnya serta mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar.
“Saya membuat pembedahan ini kerana penyakit gastrik dan juga pertambahan berat badan yang saya alami sehingga mengganggu saya untuk membuat persembahan.
“Saya dah cuba ambil ubat kurus, dah cuba diet, senaman pun dah buat. Ubat kurus yang saya makan membuatkan saya jadi loya. Saya juga masuk hospital sebab badan saya dipenuhi air.
“Bila bersenam, kaki saya selalu mengalami kecederaan. Sebab, kaki saya ni lebih kecil dari bahagian atas. Bila diet, saya dapat gastrik teruk,” katanya.
Jelas Alyah lagi, penyakit itu sudah lama menghantuinya disebabkan waktu makan dan tidur tidak menentu kerana perlu mengadakan persembahan dan rakaman pada waktu malam.
Katanya, dia juga kerap masuk hospital disebabkan gastrik tapi tidak menguar-uarkan perkara itu kepada umum.
Alyah berkata, selepas melakukan pembedahan bariatrik, dia bukan sahaja kehilangan berat badan tetapi penyakit gastriknya juga hilang.
“Dulu saya tak boleh makan cendawan dan pucuk manis. Sekarang ini, saya dah boleh makan apa sahaja yang saya mahukan. Tapi, pembedahan bariatrik juga ada kekurangannya sebab ia ciptaan manusia.
“Kita tidak boleh makan dalam kuantiti terlalu banyak. Tetapi perlu kerap makan. Jadi, saya selalu bawa apa sahaja makanan untuk pastikan saya makan.
“Saya tahu ada orang buat bariatrik untuk jadi kurus kerana ingin cantik. Tapi apa yang penting bagi saya adalah sihat kerana itu yang kita mahukan. Yang kedua, barulah perkara lain,” katanya.