Keluarga ramai kakitangan kerajaan, mungkin saya saja sedikit poyo - Caprice - Utusan Malaysia

Keluarga ramai kakitangan kerajaan, mungkin saya saja sedikit poyo – Caprice

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penyanyi dan selebriti media sosial, Ariz Ramli, atau Caprice, 35, mengakui kemungkinan dirinya terlalu bersemangat mengamalkan hak kebebasan bersuara sehingga terlupa bahawa kalangan keluarganya juga ada yang bekerja sebagai kakitangan kerajaan.

Ia susulan tindakannya mengkritik seorang individu yang bekerja sebagai anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terlibat dalam insiden pelajar maut dilanggar pada 15 Disember lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Caprice berkata, dia tidak berniat untuk menghentam keseluruhan pasukan PDRM sebaliknya hanya tertumpu kepada individu terbabit sahaja.

“Tiada kaitan dengan pasukan biru lain, kritikan hanya pada individu terbabit saja. Bagi mereka yang mungkin tak tahu, keluarga saya pun ramai yang bekerja sebagai kakitangan kerajaan. Bapa saudara saya juga pernah galas jawatan sebagai bekas Ketua Polis Kelantan sekitar 2003.

“Saudara mara saya pun ada yang merupakan askar, tentera laut, jadi akar umbi saya memang ramai yang kakitangan kerajaan. Mungkin saya saja yang terlebih poyo.

“Namun saya faham selepas ini kena kurangkan melaga-lagakan isu tersebut sebab ia boleh mencemarkan imej PDRM,”katanya.

Selain itu, jelas Caprice, dia juga faham bahawa PDRM adalah sebuah entiti kerajaan yang murni dengan nama baiknya harus dijaga oleh bukan sahaja anggota, tetapi juga orang awam.

“Kita sebagai orang awam juga harus bertanggungjawab menjaga nama baik PDRM. Baru-baru ini pun, Ketua Polis Negara telah buat satu kenyataan yang menekankan bahawa kita semua kena jaga integriti PDRM.

“Ia menunjukkan bahawa Ketua Polis Negara juga mengambil berat mengenai isu ini dan kita semua termasuk saya kena berhati-hati dalam membuat sebarang kenyataan atau bahan kandungan di media sosial,”katanya.

Dalam pada itu, ditanya sama ada insiden yang berlaku menyebabkan dirinya berasa tersekat untuk mengamalkan hak kebebasan bersuara, kata Caprice, semua pihak harus mengikut undang-undang.

“Saya tak fikir ini sebagai satu ugutan atau penghalang kebebasan bersuara. Ia cuma undang-undang. Kita ada undang-undang untuk dijaga dan diikuti.

“Kalau abaikan atau langgar, undang-undang akan cari kita itu saja,”katanya.

Terdahulu, Caprice tiba di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi pada jam 12.30 tengah hari bagi membantu memberi keterangan.

Ia berikutan baru-baru ini, dia telah memuat naik sebuah video tentang insiden tersebut dan menggelar anggota polis berkenaan menggunakan kata-kata kesat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya