KUALA LUMPUR : Meskipun pengumuman mengenai siapakah pelakon yang membawakan watak Keluang Man telah dibuat baru-baru ini, peminat animasi tempatan yang popular di era 90-an itu bagaimanapun masih belum mendapat jawapan mengenai satu lagi watak penting dalam filem tersebut.
Ia adalah menerusi watak Tiong Man atau Samad yang menjadi rakan karib kepada Keluang Man yang disifatkan sebagai wajib ada sekiranya Astro Shaw dan Iconic Animation Studio Sdn Bhd mahu merealisasikan filem tersebut dengan sempurna.
Menjelaskan perkara itu, pengarah, Anwari Ashraf, berkata, pihaknya sedia maklum mengenai kepentingan watak Tiong Man dalam filem Keluang Man namun masih belum dapat membuka mulut mengenai perancangan produksi berhubung penghasilan penuh filem tersebut.
“Saya tak boleh jawab mengenai pertanyaan ramai itu meskipun tahu Tiong Man adalah watak yang sama penting seperti Keluang Man. Pada dasarnya, saya amat hargai tona karya asli daripada pencipta asal naskhah animasi ini.
“Walaupun nak hasilkannya kepada naskhah filem aksi, saya tetap akan rujuk pada karya asal. Peringkat pembikinan pun masih dalam proses pra-produksi, jadi ada banyak benda yang masih tak boleh dikongsikan kepada umum.
“Pun begitu, apa yang dapat saya beritahu, visi kami semua di pihak produksi adalah, kita tak hanya tumpu Keluang Man sebagai satu filem sahaja. Ia akan bergerak ke depan dan Insya-Allah akan ada sekuel, ini adalah permulaan kisah Borhan (Keluang Man),”katanya.
Anwari berkata demikian semasa ditemui pada sidang media pengumuman watak-watak filem tersebut yang diadakan di The Bee, Publika, baru-baru ini.
Selain itu, berkongsi mengenai pemilihan pelakon Nas-T sebagai pemegang watak Keluang Man, kata Anwari, dia sedar terdapat banyak pihak yang masih mempersoalkan mengenai pemilihan tersebut.
Bagaimanapun, Anwari berkata, pihaknya bersama Astro Shaw, mempunyai sebab tersendiri mengapa Nas-T menjadi pilihan mereka untuk memegang watak adiwira tempatan itu.
“Jawapan saya mudah, kita mencari seorang pelakon yang bukan sahaja sesuai dengan watak tersebut, tetapi turut mempunyai kesungguhan dan disiplin tinggi.
“Nas-T memiliki faktor tersebut dan dia diyakini mampu membawakan watak Borhan dengan baik sebagaimana yang telah kami imaginasikan,”katanya.