Jovian masih makan malam, buat sesi ‘live’ bersama bekas isteri

Jovian masih makan malam, buat sesi ‘live’ bersama bekas isteri

jovian
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tidak bermasam muka, pereka fesyen, Datuk Jovian Mandagie matang dalam mengekalkan hubungan baik bersama bekas isteri, Nina Ismail Sabri, walaupun kedua-duanya sudah berpisah.

Jovian mengakui, selepas bercerai, dia dan Nina sehingga kini masih menghadiri majlis makan malam dan keluar melakukan aktiviti bersama keluarga.

Bukan itu sahaja, kata Jovian, Nina juga tidak keberatan untuk muncul di sesi siaran langsung Jovian di platform e-dagang, Shopee.

“Walaupun kami sudah berpisah, namun tetap bahagia. Sebenarnya tadi pun kami baru sahaja balik dari makan malam bersama keluarga sempena meraikan hari kelahiran adiknya, Dafi.

“Kami masih bersama sebagai sebuah keluarga dan kami lakukan itu kerana anak, Jeanelle. Lagipula keluarga saya dan Nina memang sangat rapat. Rasanya tidak adil kalau kami bergaduh manakala keluarga pun terkena tempiasnya. Kita jaga hubungan itu agar keluarga, rakan, peminat selesa bersama.

“Nina juga sangat menyokong saya khususnya dalam perniagaan sampai ke hari ini. Kalau ada sesi siaran langsung untuk mempromosikan barang jualan, dia pun turut sertai,” katanya.

Jovian ditemui Utusan Malaysia di majlis penyampaian anugerah Shopee Super Awards 2023 di Kuala Lumpur semalam.

Tidak seperti pasangan lain yang dingin dan saling menyindir di media sosial selepas bercerai, Jovian menyifatkan hubungan persahabatannya bersama Nina dilindungi Allah dan tidak pernah terdetik di dalam hati untuk bergaduh.

“Kami pernah berkahwin selama 10 tahun. Tak ada sebab untuk kami saling membenci dan bermusuh. Cuma mungkin jodoh kami berpanjangan sebagai kawan dan Allah jaga hubungan itu.

“Mungkin kami sudah matang dan sangat menyayangi keluarga masing-masing. Walau sudah berpisah, namun kami masih tetap berjumpa,” jelasnya.

Semasa majlis berlangsung malam tadi, Jovian turut menerima anugerah industri e-dagang terunggul Shopee Super Awards 2023, melihat kepada prestasi cemerlang perniagaannya di platform itu sepanjang tahun ini.

Menurut Jovian, tahun 2023 adalah masa yang sukar untuk para usahawan dengan keadaan inflasi dan ekonomi global yang terjejas akibat peperangan.

“Bagi mereka yang ingin buat bisnes, jadilah realistik dan bijak memilih pelaburan. Pilihlah perniagaan yang tak akan mati andai kata terjadi lagi Perintah Kawalan Pergerakan akibat Covid 19.

“Selain itu jangan syok sendiri atau statik, sebaliknya kajilah trend semasa agar kita faham apa yang pembeli mahukan.

“Mungkin ini kali terakhir saya akan menjual pelitup muka. Tahun depan saya akan memberi fokus kepada perniagaan fesyen dan melancarkan produk penjagaan wajah sendiri,” katanya.

Selain Jovian, antara selebriti yang turut menerima penghargaan tersebut ialah Neelofa, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Zoey Rahman dan Ainul Aishah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya