KUALA LUMPUR : Menantu Raja Gelek Malaysia, Datuk M Daud Kilau, Hassan Ahmad, mendedahkan, Allahyarham bapa mentuanya itu sempat memberi petanda seolah-olah akan pergi buat selamanya sekitar malam semalam.
Menurut Hassan, arwah sempat bertemu dengan cucu dan memaklumkan bahawa dirinya akan ‘pergi’ sebelum tiba-tiba tidak bercakap dan tidak sedarkan diri sejak malam semalam.
“Semalam anak cucu ada balik melawatnya. Dia masih okey dan boleh bercakap lagi. Cucu sulungnya menangis sebab arwah ada sebut ‘atuk nak pergi dah’.
“Cucu pun menangislah dan tanya ‘kenapa atuk kata begitu?’
“Bila mereka pulang sahaja, arwah tidak bercakap dan tidak sedarkan diri malam tadi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Penyanyi yang dikenali sebagai Raja Gelek itu disahkan meninggal dunia pada pukul 4:46 petang di Hospital Teluk Intan, Perak, sebentar tadi.
Menurut Hassan, kesihatan penyanyi itu tidak stabil bermula 12 Disember sebelum dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Namun begitu keadaannya semakin teruk dari semasa ke semasa apabila kuman sudah merebak ke seluruh badan.
Sementara itu,reda dengan pemergian arwah, ahli keluarga memutuskan pengebumian akan dilakukan esok di Tanah Perkuburan Sungai Balai Baroh, Bagan Datoh, Perak, bagi memberi ruang kepada keluarga untuk memberi penghormatan terakhir.
“Kita akan kebumikan arwah esok. Ramai lagi ahli keluarga nak datang terutama anak cucu. Mereka ingin menziarahinya buat kali terakhir.
“Maka jenazah akan kita kebumikan esok,” katanya.