KUALA LUMPUR : Pelakon popular drama High Council, Amir Ahnaf, 23,menafikan wujud istilah merampas aktres Anna Jobling daripada Meerqeen sebagaimana yang didakwa segelintir peminat dan warganet sebelum ini.
Menurut Amir atau nama sebenarnya, Muhammad Amir Ahnaf Mohd Khairuddin, gossip itu tidak sepatutnya timbul kerana dia dan aktres jelita berkenaan bersahabat baik dan hubungan itu tidak lebih daripada apa yang diandaikan orang ramai.
“Saya terbaca dalam ruangan komen yang mengatakan saya rampas Anna daripada Meerqeen. Saya tak rampaslah.
“Hakikatnya, kami adalah rakan sekerja dan sedang berlakon bersama,” katanya.
Amir berkata demikian semasa ditemui pada sidang media drama Gamerz Mangkuk di ibu negara, semalam.
Selain itu, jelas Amir, setakat ini hubungan persahabatannya dengan Meerqeen juga tidak terjejas hanya kerana gosip yang bertebaran.
“Meerqeen tahu saya berlakon bersama Anna dalam drama Syurga Itu Bukan Mudah yang diarahkan oleh sutradara Eyra Rahman. Dia turut memberikan sokongan dan semangat kepada saya supaya menghasilkan kerja terbaik.
“Saya tak rasa ada suasana tegang berlaku antara kami bertiga. Saya rasa yang mengapi-apikan adalah peminat masing-masing,” jelasnya.
Sementara itu, Amir turut menyifatkan Anna seorang pelakon yang berpotensi besar selain profesional ketika bekerja.
“Masa kali pertama jumpa untuk tanda tangan kontrak, saya sudah dapat rasa Anna adalah pasangan pelakon terbaik untuk bergandingan. Dia sangat bagus.
“Saya sudah baca skrip, jadi saya tahu karakter Anna macam mana. Dia boleh bawakan karakter ini.
“Saya juga suka bekerja dengan Anna sebab seorang yang profesional,” kata.
Terdahulu, Anna pernah dikaitkan berpacaran dengan Meerqeen selepas terjebak dengan cinta lokasi ketika menjayakan drama rantaian popular, Melur Untuk Firdaus untuk TV3.