KUALA LUMPUR : Pelakon dan penyanyi, Azza Zawari, 46, mengakui, sebelum ini suka menonton siaran langsung (live) Allahyarham Suhaimi Saad di media sosial kerana selebriti berkenaan banyak berkongsi perkara baik.
Menurut Azza atau nama sebenarnya, Nor Azzarima Zawari, baginya, Allahyarham Suhaimi juga ada ketika mempunyai sisi lucu dan suka mengusik isterinya, Ina Naim setiap kali tampi bersiaran langsung.
“Al-Fatihah Suhaimi Saad. Rajin juga dulu tengok live arwah di Tik Tok yang selalu berpesan pesan. Dalam lucu-lucunya, arwah tetap ada mesej. Semoga Allah kurniakan Jannah buat dirinya.
“Saya doakan agar Allah SWT turut mempermudahkan urusan Ina dan anak-anak. Insya-Allah. Saya suka tengok live Suhaimi, dia suka mengusik Ina. Setia dia pada Ina, sayang betul dia pada isterinya itu.
“Bab-bab ini memang tak bolehlah, saya menangis pula mengenangkan pemergian arwah. Padahal bukan kita kenal pun. Pernah jumpa sekali saja tapi macam tersentuh hati sangat bila Suhaimi sudah tiada.
“Bagi saya, kematian yang menghidupkan buat Suhaimi,Masya-Allah,”katanya.
Terdahulu, Suhaimi selepas bertarung nyawa dan dimasukkan ke hospital sejak Jumaat lalu akibat jangkitan kuman pada paru-paru, disahkan meninggal dunia pada 7.40 malam semalam.
Kesihatannya mulai merosot sejak semalam dan difahamkan beberapa organ dalam juga gagal berfungsi.
Allahyarham meninggalkan seorang balu dan empat cahaya mata iaitu Ehmad Hadie Elfardie, 15, Salman Elkhoyri, 13, Phyrosh Elfadwah, 11, dan Nur Layla Elghufrony, 9.