Suami tak pernah larang pun - Ainul Aishah - Utusan Malaysia

Suami tak pernah larang pun – Ainul Aishah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mendirikan rumah tangga sekitar setahun yang lalu, pelakon, Ainul Aishah, dilihat seakan lebih selesa menghindar hiruk pikuk dunia glamor yang mana, suatu ketika pernah menyaksikan dia menyerlah sebagai satu potensi besar dalam industri seni tanah air.

Sekurang-kurangnya, itu adalah antara apa yang ditebak oleh peminat.

Namun buat pelakon ini sendiri, dia mengakui, sedikit pun tidak pernah luput dari hati untuk terus melupakan bidang lakonan, satu daripada apa yang dicintainya dalam hidup.

Pun begitu, kata Ainul, entah mengapa, seakan ada perasaan dalam diri yang ‘memintanya’ untuk berhenti dahulu buat seketika memandangkan pada masa yang sama, dia juga perlu memfokus kepada perkembangan perniagaannya.

Lalu, itu juga menjawab teka-teki ramai selama ini bahawa kemungkinan Ainul tidak lagi mahu berlakon kerana dilarang suami, Khalid Redzuan.

“Tak dinafikan, ada saja yang bertanya mengenai perkara ini sebab nampak saya macam dah tak nak berlakon, seakan sudah tak berminat dengan dunia seni.

“Tanggapan itu salah. Saya sendiri pun tak pernah cakap yang saya dah letakkan noktah pada dunia lakonan. Memperlahankannya mungkin lebih tepat.

“Sebenarnya, kalau nak tahu, suami saya adalah orang yang paling menyokong dan nak tengok saya kembali aktif berlakon. Dia memang selalu saja tanya saya bila nak berlakon lagi.

“Tetapi saya pula yang kata nanti dahulu. Suami saya tak pernah melarang pun,” katanya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, kata pelakon berusia 38 tahun ini, dia bertuah kerana dikurniakan seorang suami yang sangat memahami dan sentiasa tidak lokek memberi sokongan mengenai apa sahaja yang ingin dilakukannya.

Pun begitu, kongsi Ainul, sejak berkahwin, dia dan suami sama-sama saling sibuk menguruskan perniagaan sehinggakan belum ada kesempatan untuk berbulan madu.

“Jadi, kalau ada yang kata saya tak berlakon, atau tak nampak di kaca televisyen maka sebab itulah tak ada ‘job’, itu bagi saya satu tanggapan yang salah. Tetapi saya tak kisah pun orang nak cakap apa.

“Cuma, saya kongsikan di sini, saya lepas berkahwin memang sibuk menguruskan perniagaan biskut Ainul Cookies. Saya kini dah ada kedai di Kota Damansara dan tentunya memerlukan fokus 100 peratus.

“Saya buka kedai dan buat dan bakar sendiri biskut-biskut yang dijual. Buat masa sekarang saya tak ada ramai pekerja, jadi memang tumpuan saya adalah pada kedai tersebut,”katanya.

Tambah Ainul, sekiranya dia berupaya mencari pembuat biskut dan pekerja yang boleh dipercayai, tentu sahaja dia akan mula kembali aktif dalam bidang seni lakonan.

“Buat masa sekarang saya nak stabilkan dahulu perniagaan itu. Saya tak akan pernah berhenti dengan bidang lakonan, biarpun usia saya 50 atau 60 tahun jika tawaran itu masih ada untuk saya.

“Tak apalah, berilah peluang dan laluan untuk pelakon-pelakon baharu cipta nama dalam dunia seni, nanti saya sudah sedia baru saya fokus berlakon kembali,”katanya.

Hasrat timang anak

Dalam pada itu, ditanya mengenai keinginannya untuk membina keluarga kecil, kata Ainul dia juga sama seperti pasangan lain yang mendirikan rumah tangga.

Sebagaimana mereka, kata Ainul, tentunya dia tidak akan menolak andai punya rezeki untuk menimang cahaya mata bersama Khaled.

“Kalau boleh memang nak zuriat secepat mungkin. Tetapi nak buat macam mana belum ada rezeki lagi. Kami okey sahaja.

“Ini pun berat badan naik dan dah ramai yang tanya sama ada saya dah ada ‘isi’ kah? Jawapannya belum. Ini memang tengah gemuk sikit,”katanya sambil tertawa.

Tambah Ainul, dia bagaimanapun bersyukur kerana tidak terlalu berasa tertekan mengenai urusan itu meskipun ramai termasuk keluarga, sering bertanya.

Katanya, apa yang diharapkan hanyalah doa-doa yang baik daripada semua pihak buat dirinya dan suami tercinta.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya