Soalan begitu tak patut tanya, saya ini orang Islam - Wan Hanafi Su - Utusan Malaysia

Soalan begitu tak patut tanya, saya ini orang Islam – Wan Hanafi Su

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pelakon senior,Wan Hanafi Su, 73, mengakui terkilan dengan tindakan blogger yang telah melakukan pertanyaan tidak munasabah mengenai isu Palestin-Israel terhadapnya sehingga perkara itu menjadi tular di media sosial dan membuatkan dirinya dikecam teruk oleh warganet.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Wan Hanafi berkata, pertanyaan itu dianggap lebih menjengkelkan kerana dibuat dalam bentuk permainan yang menyaksikan blogger terbabit mengajukan soalan kepada beberapa orang artis lain dalam sebuah acara hiburan baru-baru ini.

“Dia tanya sama ada saya pilih Israel atau Palestin. Saya terkejut dengan soalan itu dan saya sempat lemparkan senyuman sinis.Saya cakap tak pilih mana-mana sebab tak sangka ditanya soalan yang tak munasabah seperti itu.

“Bukankah saya ini orang Islam? Sebagai orang Islam dan ditanya begitu, rasionalnya mestilah saya berpihak kepada Palestin.

“Lainlah saya ini agama dan berbangsa lain. Kenapa pihak blogger itu tergamak tanya saya soalan begitu?” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Khamis lalu, Wan Hanafi tiba-tiba mendapat kecaman ramai apabila didakwa bersikap neutral berhubung isu Palestin- Israel yang kini turut menjadi perdebatan penduduk di seluruh dunia.

Menerusi sepotong video yang dikongsikan di TikTok, aktor itu telah diberikan dua pilihan, sama ada untuk memilih Palestin atau Israel oleh blogger berkenaan.

Bagaimanapun, aktor terbabit enggan memberikan sebarang jawapan selain memaklumkan jika dia berbuat demikian kemungkinan boleh mencetuskan perang dunia ketiga.

Dalam pada itu, Wan Hanafi berpendapat, perkara seperti itu tidak wajar dijadikan satu permainan kerana ia merupakan satu isu sensitif.

Bagaimanapun, kata aktor filem Mat Kilau : Kebangkitan Pahlawan dan La Luna ini, dia telah memaafkan kesilapan pihak terbabit selain meminta agar isu ini tidak dipanjangkan.

“Tak apalah, walaupun ramai yang mengecam, saya tak ambil hati. Saya okey sahaja sebab orang ramai mungkin tersalah faham.

“Memang kita sebagai manusia ini semua buat silap, jadi kita maafkan sahajalah. Tak payahlah panjangkan isu ini,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya