SHAH ALAM : Mengalami sakit tekak dan batuk berpanjangan, penyanyi, Siti Nordiana, 39, tidak menolak masih perlu menjalani rawatan intensif di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) secara berkala.
Menurut Siti Nordiana atau lebih mesra disapa sebagai Nana, inisiatif itu dilakukannya bagi memastikan tahap kesihatan peti suaranya berada dalam keadaan baik demi meneruskan perjuangannya di pentas All Stars Gegar Vaganza (ASGV).
“Saya alami sakit tekak sejak Isnin, jadi memang saya akui susah juga untuk saya buat persembahan pada minggu ini (semalam). Sekarang bertambah pula dengan batuk, jadi saya kena makan ubat dan sebagainya.
“Tapi proses nak membaik ini nampaknya memakan masa juga. Saya masih kena jumpa doktor untuk dapatkan rawatan lanjut. Sebenarnya, saya dah susun jadual berkala untuk bertemu doktor di HUKM dalam tempoh enam bulan ini.
“Rawatan yang saya jalani itu dinamakan Pembersihan Vokal (Vocal Cleanse),”katanya ketika ditemui usai siaran langsung program ASGV di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini, semalam.
Mengulas mengenai persembahannya pada minggu kesepuluh, kata Nana, dia berpuas hati dapat memberikan persembahan sebagaimana dirancang meskipun bertarung dengan keadana tekak yang masih belum sembuh.
“Dalam keadaan suara yang tak berapa okey, tetapi saya dapat juga sajikan persembahan dengan sehabis baik. Saya pun tak boleh nak paksa orang supaya suka dengan suara kita sebab ia sangat subjektif.
“Ada peminat suka suara saya, ada yang suka dengan suara peserta lain. Jadi, kita jadi sahaja diri sendiri,”katanya.
Dalam pada itu, ditanya mengenai reaksinya diberi tugasan untuk membawakan lagu berentak rock pada minggu separuh akhir, Ahad depan, kata Nana, dia akan berusaha untuk memberikan persembahan yang bermutu.
“Lagu genre rock sebenarnya bukan makanan saya. Habislah…nampaknya saya kena ubah karektor sikit.
“Saya sendiri pun kalau buat persembahan di mana-mana, jarang sangat bawakan lagu rock. Rasanya nanti mesti ia akan kedengaran macam lagu-lagu ‘leman’(kekampungan),”katanya.
Nana pada minggu suku akhir ASGV semalam telah membawakan lagu berjudul Ayam Den Lapeh (Ellie Kassim) dan gabungan lagu Bollywood berjudul Mehndi Laga Ke Rakhna (Lata Mangeshkar & Udit Narayan).
Persembahan penuh warna-warni itu menyaksikan Nana berjaya meraih tempat keempat dengan mencatat markah sebanyak 70.50.
Sementara itu, kedudukan teratas diumumkan menjadi milik penyanyi Naqiu yang juga juara GV musim keenam selepas meraih markah tertinggi daripada tiga juri tetap.
Tempat kedua pada konsert minggu ini pula menjadi milik penyanyi Hady Mirza manakala juara musim kesembilan, Jaclyn Victor pula berada di tangga ketiga.
Kotak peserta tersingkir pada minggu ini diisi oleh Aliff Aziz sekali gus menyaksikan Naqiu, Liza Hanim, Hady Mirza, Azharina, Jaclyn Victor dan Nana berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir minggu depan.