KUALA LUMPUR : Pelakon, Uqasha Senrose, menegaskan, dia tidak bergambar secara rapat dengan penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus, sebagaimana yang didakwa golongan netizen di media sosial berdasarkan gambar yang dikongsikan di Instagramnya, semalam.
Menurut Uqasha atau Nik Zaris Uqasha Nik Sen,31, teknik kedudukan kamera (angle) membuatkan dirinya kelihatan seolah-olah rapat dengan Azhar Idrus selain masih tahu untuk menjaga batasnya.
“Tak perlu mulut pandai-pandai cakap kalau tidak ada di tempat tu. Angle dan posisi awak nampak begitu (rapat). Saya tahu batas saya. Orang kanan kiri tolak, jadi tidak seimbang,” jelasnya.
Terdahulu, Uqasha didakwa netizen tidak menjaga batas sewaktu bergambar bersama pendakwah bebas terkenal, ustaz Azhar Idrus di sebuah majlis ilmu yang dihadirinya, malam semalam.
Sebelum itu, Uqasha, menzahirkan rasa teruja apabila dapat menghadiri majlis agama tersebut dan bergambar bersama Azhar Idrus walaupun kurang sihat.
“Ya Allah, dapat juga berjumpa dan bergambar dengan ustaz Azhar Idrus. Memang dah lama sangat minat dengan cara dia memberi ceramah.
“Walaupun demam, saya makan ubat dan cucuk drip semata-mata untuk hadir ke ceramah beliau. Banyak ilmu yang dikongsikan. Seronok sangat,” kongsi Uqasha.
Sementara itu, suaminya yang juga pelakon, Kamal Adli turut dilihat meninggalkan komen mempertahankan isterinya daripada dikecam apabila menjelaskan situasi sebenar.
“Sabar yang lain. Kalau rapat sangat, saya sendiri yang akan tegur siap-siap. Itu angle kamera sahaja. Jangan mudah nak menaip.
“Kalau betul rapat, ustaz sendiri dah lari. Sudah, cukup-cukuplah,” kata Kamal.
Difahamkan acara yang dihadiri Uqasha malam tadi itu ialah majlis Kuliyah Khas Jihad Palestin yang diadakan di Hotel Grand Barakah, Ampang, Kuala Lumpur.