KUALA LUMPUR : Penyanyi rock terkemuka tanah air, Ella, 57, tidak malu mengakui bahawa dirinya menggunakan alat bantuan pendengaran akibat mengalami masalah tersebut sejak setahun yang lalu.
Menurut Ella atau nama sebenarnya, Nor Zila Aminuddin, dia mengalami masalah pendengaran pada telinga kiri yang kini berkurangan kepada 70 peratus manakala pada bahagian kanan pula 80 peratus.
Kata Ella, dia tidak mengetahui masalah itu ketika menjalani pemeriksaan telinga di Global Hearing Care Centre Malaysia (GHCC) dan mengambil pendekatan untuk terus menggunakan alat bantuan pendengaran.
“Ingatkan telinga saya okay. Tetapi selepas melakukan pemeriksaan, keputusan mendapati pendengaran telinga kiri berkurang kepada 70 peratus manakala sebelah kanan hanya tinggal 80 peratus daripada bacaan 200 peratus.
“Selepas itu, saya mendapat bantuan GHCC dan saya menggunakan alat bantuan pendengaran Bernafon Alpha. Syukur, Alhamdulillah, kini masalah saya dapat diselesaikan,” katanya.
Tambah penyanyi lagu Retak itu, pandangan bahawa penggunaan alat sokongan hanya untuk orang pekak juga perlu dikikis segera dengan memberi pendedahan meluas kepada masyarakat.
Malah, dia sendiri tidak menyifatkan perlu berasa malu menerusi pengakuan yang dibuat kepada umum.
“Rasanya, tiada sebab untuk saya nak rasa malu atau anggap ada kekurangan kerana memakai alat bantu walaupun status saya sebagai penyanyi.
“Kalau peralatan ini dapat menolong saya mendengar lebih sempurna, kenapa tidak saya menggalakkan orang lain juga lebih peka dengan perubahan diri sendiri? Lagipun ia tidak bermaksud saya sudah pekak.
“Stigma alat bantuan ini hanya untuk orang pekak atau hilang pendengaran seharusnya dielakkan.Saya harap ia dapat memberi kesedaran kepada orang ramai termasuk dalam kalangan rakan artis yang terdedah kepada bunyi-bunyian kuat,” katanya.
Ella berkata demikian ketika ditemui pada program komuniti Global Hearing Care Centre di kompleks beli-belah di Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini.
GHCC dengan kerjasama Ella dan Kementerian Pendidikan Malaysia menganjurkan program yang memfokuskan mengenai kesihatan pendengaran serta kelancaran pertuturan di setiap peringkat usia.
Program itu turut menyaksikan perasmian kolaborasi di antara GHCC dan Ella iaitu edisi ekslusif alat bantu dengar jenama Bernafon Alpha RockQueen x GHCC.
Kata Ella lagi,masalah pendengaran dialaminya berpunca daripada aktiviti menyelam dan terdedah kepada bunyi-bunyian yang kuat.
Sebagai penyanyi sejak hampir empat dekad, dia yang turut terkenal dengan lagu Pengemis Cinta itu mengajak rakan seperjuangan jangan berlengah jika mengesan terdapat tanda-tanda pendengaran terjejas.
“Sebelum ini, ada rakan yang bertanya mengapa saya memakai alat bantuan jadi saya menjelaskan dan beri sedikit sebanyak nasihat untuk cepat bertindak,” katanya.