KUALA LUMPUR : Sempena tayangan telefilem Misteri Roh Pulau Penunggu di Astro First pada 2 November lalu, produksi Advance Idea Concept membuka peluang buat semua penontonyang melanggan untuk memenangi pelbagai hadiah menarik.
Menurut penerbit bersama filem ini, Datuk Rosli Bujang Rosli, kelainan itu ditampilkan bagi membolehkan penonton berpeluang memenangi cabutan bertuah seperti kepingan emas hampir 1 gram dengan setiap langganan juga akan disumbangkan kepada Tabung Amanah Anak Palestin Yayasan Nurjiwa.
Kata Rosli, pihaknya akan mengadakan cabutan bertuah setiap tiga hari sekali bermula 7 November (malam ini) untuk penonton yang melanggan telefilem ini.
Menurutnya, mereka menyasarkan dapat meraih kutipan lebih daripada RM300,000 dan sebahagian daripadanya akan disumbangkan kepada Yayasan Nurjiwa yang dikendalikan penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Filem Misteri Roh Pulau Penunggu ini diarahkan oleh Mohamad Saridan Yeop Abd Rahim @ Shahridan Popeye, manakala skrip ditulis oleh Suriana Ab Wahab atau Keena Mentor.
Jelas Keena, dia cuba tampilkan kelainan apabila menggabungkan barisan pelakon terdiri daripada peserta program pertandingan realiti TV di negara kita.
“Ketika menulis cerita ini saya memang membayangkan nak mengumpul dan menggabungkan barisan artis program realiti seperti Akademi Fantasia, Gegar Vaganza, Mentor dan program lawak.
“Kerana itu barisan pelakon yang membintangi telemovie ini adalah gabungan peserta-peserta program realiti TV.
“Mereka berbakat besar dan perlu diberi ruang dan peluang dalam industri. Saya harap penonton menyokong usaha ini,” katanya.
Keena berkata demikian di sidang media telefilem Misteri Roh Pulau Penunggu di Hotel JW Marriot Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Majlis turut dihadiri Datuk Zamrud Misdi dan barisan pelakon terlibat antaranya Putra Amaris, Keena Mentor, Tom GV9, Erul AF9, Azlee Senario dan Faizzal Gegar Lawak.
Hadiah-hadiah menarik yang ditawarkan kepada penonton bertuah adalah sumbangan dari Fingold, Bateriku.com, JW Marriot dan banyak lagi.
Filem ini dibintangi oleh Putra Amaris, Keena, Erul Samah, Hezry Gegar Lawak, Tom,Farhan Maarob, Faizzal Gegar Lawak, Siti Aida Aieril dan Norsuzilawati Sobri.