KUALA LUMPUR : Search, Wings, Hujan, Butterfingers dan A.C.A.B merupakan lima kumpulan terkemuka tanah air yang telah memberikan lampu hijau untuk menyertai Borneo Rock Festival 2023 yang bakal berlangsung pada bulan hadapan.
Dianjurkan oleh Imika Culture, festival yang mengangkat tema Budaya Popular dan Kontemporari itu akan diadakan di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada 30 Disember ini.
Menurut penganjurnya, Datuk Abdul Rahim, penganjuran Borneo Rock Festival 2023 bertujuan mengangkat budaya unik Sabah yang sebelum ini kurang diberi perhatian secara umum.
“Perkara ini tepat dengan tema Budaya Popular dan Kontemporari yang merangkumkan antara seni dan budaya lalu pada Borneo Rock Festival 2023.
“Selain itu, kita mahu festival rock ini bukan hanya meletakkan hiburan semata-mata, sebaliknya, memberi ilmu berkaitan seni dan budaya masyarakat setempat.
“Saya turut berharap festival ini dapat menjadi medium buat generasi masa kini menikmati hiburan berkelas. Jadi, Borneo Rock Festival 2023 bakal ini menampilkan 30 band terkenal yang akan menjadikan objektif penganjuran festival ini mencapai matlamat,”katanya.
Mengulas mengenai pemilihan kumpulan rock terkemuka tanah air itu, kata Abdul Rahim, pihaknya percaya bahawa status band ikonik yang disandang mereka mampu menjadi tarikan utama dan sesuai dengan konsep yang diketengahkan penganjur menerusi festival ini.
Sementara itu, menurut vokalis kumpulan Search, Datuk Suhaimi Abdul Rahman atau Amy, penganjuran Borneo Rock Festival 2023 baginya merupakan satu inisiatif baik dalam menyatukan seni serta budaya untuk dihayati pengunjung.
“Search sangat tertarik dengan konsep festival rock yang dinyatakan penganjur. Ia bukan hanya mengangkat muzik rock sebagai jualan utama, sebaliknya, memberi peluang kepada band lokal, komuniti seni dan budaya lain membuat persembahan.
“Kita rasa terhormat dipilih sebagai satu daripada artis utama menghiburkan peminat. terutama buat penggemar rock di Borneo,” katanya.
Mensasarkan 20,000 pengunjung, Borneo Rock Festival 2023 turut menampilkan persembahan band tempatan seperti Amef, Mahkluk, Silversun, Suka Suki, Markaz79, Beyond My Rage, Dita Darcia, Gutaeters, Measmata dan Melodychain.
Selain persembahan pentas, pengunjung boleh menikmati pelbagai keseronokan lain, termasuk pameran permotoran, wayang pacak, pertandingan memasak dan pameran kraf tempatan.
Tiket dijual mengikut kategori berbeza iaitu General (Early Bird – RM79), (Normal – RM99), Rock Zone (Early Bird – RM99), (Normal – RM129) serta RM300 untuk Grandstand.
Untuk maklumat lanjut layari www.ilassotickets.com