Kumpulan Inteam akan bantu anak-anak Suhaimi Saad - Hazamin - Utusan Malaysia

Kumpulan Inteam akan bantu anak-anak Suhaimi Saad – Hazamin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Meskipun Allahyarham Suhaimi Saad telah tiada, anggota kumpulan Inteam berjanji akan sentiasa menjaga silaturrahim yang baik dengan keluarga terutama anak-anak arwah yang masih berada di bangku sekolah.

Perkara itu diakui oleh seorang daripada anggotanya iaitu Muhammad Hazamin Harun yang menganggap ia merupakan tanggungjawab sesama sahabat meskipun secara rekod, Allahyarham sudah tidak bersama kumpulan itu sejak tahun 2005.

“Saya ada menziarahi keluarga arwah selepas dia meninggal dunia tempoh hari. Saya lihat anak-anaknya dan Ina Naim, sangat kuat. Ayah Ina pun maklumkan perkara yang sama, mereka sangat kuat dalam menempuhi fasa baharu ketiadaan Suhaimi di sisi.

“Mungkin mereka sudah didisik oleh arwah sebelum itu atau telah terbiasa dengan keadaan arwah yang diuji sakit sebelum ini. Sebagai sahabat, kami anggota Inteam akan mencuba membantu keperluan anak-anak arwah.

“Sudah menjadi tanggungjawab kami untuk turut sama membantu. Kawan-kawan pun ada yang kirim bantuan menerusi Munsyid Malaysia.

“Sebelum ini pun kami ada lakukan perkara yang sama, buat kutipan duit untuk disumbangkan kepada arwah. Ini kerana empat bulan sebelum itu pun arwah tak dapat bekerja kerana sakit,”katanya.

Hazamin berkata demikian semasa ditemui pada program Pentas Marhaban yang berlangsung di studio TV Al Hijrah, di sini, kelmarin.

Sementara itu, berkongsi mengenai memori terakhir bersama Allahyarham Suhaimi, kata Hazamin, dia sempat menziarahi rakannya itu sewaktu sakit namun tidak dapat berbuat demikian sewaktu mendapat perkhabaran kematiannya.

“Sebelum dia meninggal, saya sempat menziarahinya dan ketika itu dia masih boleh bercakap lagi. Waktu itu berat badannya tak sampai 50kg, hampir menitik air mata saya melihat keadaannya yang kurus kering begitu.

“Masih saya ingat, dia cakap jangan menangis nanti dia menangis juga. Lepas seminggu, saya pergi umrah dan dapat berita dia masuk Unit Rawatan Rapi ( ICU).

“Waktu di Mekahlah saya terima perkhabaran Suhaimi sudah meninggak dunia. Rasa terkilan tak dapat berada di sisinya walaupun saya beberapa kali sempat menziarahinya sebelum itu,”katanya.

anggota kumpulan Inteam, Muhammad Hazamin Harun.

Tambah Hazamin lagi, persahabatan yang telah lama terjalin antara anggota Inteam dan arwah Suhaimi juga tidak mungkin mudah dapat dilupakan meskipun ada pasang surutnya.

Kata Hazamin, adat dalam bersahabat, ada kala terwujud sengketa tidak disengajakan antara mereka.

“Sepanjang dia tak lagi bersama dengan Inteam, ada turun baiknya dalam silaturrahim kami ini. Tetapi semasa kami buat album reunion itu, ada panggil semula dia sebagai artis jemputan untuk rakaman.

“Ketika kami buat konsert pun ada jemput dia juga begitu juga bila dia ada buat persenbahan di Kelantan, dia panggil kami. Kalau gaduh-gaduh kecil itu adalah juga.

“Sebenarnya, lagi kita rapat, lagi mudah kita bergaduh. Tetapi setiap percakaran itu kami akan hadapi dan kembali semula mohon maaf,”katanya.

Untuk info, Allahyarham Suhaimi disahkan meninggal dunia pada 7.40 malam, 15 November lalu di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru akibat jangkitan kuman di paru-paru.

Sebelum itu, media melaporkan Suhaimi terpaksa ditidurkan dan bergantung sepenuhnya kepada alat bantuan pernafasan.

Allahyarham dikatakan mengalami jangkitan hingga berlaku kegagalan organ dalaman akibat batuk kronik dialami sejak empat bulan lalu dan cirit-birit selama tiga bulan sehingga berat badannya turun mendadak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN