SHAH ALAM : Walaupun menghadapi masalah suara akibat laryngitis, penyanyi, Jaclyn Victor, lega menyelesaikan persembahannya di minggu kesembilan All Stars Gegar Vaganza (ASGV), semalam.
Menurut Jac atau Jaclyn Joshua Thanaraj Victor, 45, dia tidak bercakap selama dua hari dan berehat secukupnya atas nasihat doktor sebelum persembahan.
“Laryngitis membuatkan penyanyi tidak boleh mengawal suara.Selepas berjumpa doktor untuk kali kedua, dia memasukkan kamera ke dalam tekak dan memang ada sesuatu yang menutupi kotak suara.
“Doktor meminta saya ambil antibiotik dan berehat secukupnya.Dua hari saya tidak bercakap dan tidur sebanyak mungkin. Keadaan kemudian beransur pulih,” katanya.
Jac ditemui Utusan Malaysia di sidang media minggu kesembilan ASGV, di auditorium MBSA, semalam.
Bergandingan bersama Nadeera, Jac membawakan lagu All I Ask nyanyian asal Adele semasa persembahan malam tadi.
“Sejujurnya saya tidaklah begitu yakin dengan persembahan malam ini.
“Saya berserah sahaja. Namun saya bersyukur Nadeera ialah pasangan yang hebat. Dia adalah penyanyi muda yang wajar dipuji,” tambahnya.
Persembahan All I Ask telah melayakkan Jac memenangi tangga pertama untuk konsert kesembilan dengan markah sebanyak 82.88 peratus.
Kesemua peserta yang mara ke suku akhir pada minggu hadapan perlu menyanyikan dua buah lagu.
GV10 dijurikan Datuk Ramli MS, Datuk Shafinaz Selamat dan Hetty Koes Endang.
Konsert akhir All Stars Gegar Vaganza bakal berlangsung pada 10 Disember ini di stadium Axiata Arena, Kuala Lumpur.