Filem seram ‘klise’ tidak bermaksud lemah, teruk - Utusan Malaysia

Filem seram ‘klise’ tidak bermaksud lemah, teruk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“APAKAH yang benar-benar tulen dalam dunia ini? Semuanya pasti dicedok atau diinspirasikan daripada pengkarya terdahulu,”

Demikian persoalan yang membuka perbincangan dan ruang perspektif antara para pelakon filem Syif Malam iaitu Anas Ridzuan dan Shahkimin. Banyak yang meletakkan penanda aras filem  bagus haruslah mempunyai plot twist atau lari dari kebiasaan jalan cerita yang pernah ada dari naskhah sebelumnya. Pendek kata, klise ialah dosa bagi seorang pengkarya.

Namun bagi Anas dan Shahkimin, tidak ada yang benar-benar tulen pada hari ini. Semuanya pasti mendapat ilham daripada karya sebelumnya apalagi untuk sebuah filem berunsur misteri dan seram. 

Tetapi, ada beberapa elemen yang boleh menjadikan sesuatu filem hantu itu diterima dan segar ketika ia ditayangkan. 

“Kita tidak boleh lari daripada klise kerana seluruh dunia membawakan konsep yang serupa. Namun, kita boleh tampil segar dengan membawakan unsur budaya dalam karya. Contohnya ketika kita bermain dengan era, zaman dan latar sesuatu cerita. 

“Kita bawakan misteri Ulek Mayang contohnya atau perbezaan tahun seperti filem Layar Lara.

“Ada naskhah yang mempunyai plot twist tapi cara pembikinanya tidak cemerlang. Akhirnya, ia tetap dianggap naskhah yang lemah. Ada cerita yang memeningkan, terlalu eksperimental sehingga tidak ramai yang mahu menontonnya. Jadilah ia filem syok sendiri,” katanya kepada Hits. 

Turut bersetuju dengan pandangan itu ialah Shahkimin yang merasakan peranan dan kreativiti sutradara yang akan menentukan kejayaan sebuah filem seram. 

“Kalau cerita tentang hantu di Malaysia, mesti kita tak lari dengan pocong, toyol atau pontianak. 

“Tapi bagi saya filem hantu yang bagus tidak hanya bergantung kepada visual semata-mata. Ia juga boleh diperkasakan dengan teknik  ‘jumpscare’. 

“Namun kalau terlalu banyak kejutan akan membuatkan penonton menyampah. Di sinilah letaknya peranan pengarah untuk mengimbangi suasana,” jelasnya. 

 

Bawa Syif Seram ke panggung

Pengarah, Fairus Anuar membawakan naskhah Syif Malam ke panggung kerana ia sangat dekat dengan hati masyarakat yang melakukan dua kerja atau bekerja lebih masa untuk menyara keluarga. 

Syif Malam diadaptasi daripada drama pendek di Youtube dengan judul yang sama beberapa tahun lalu. 

“Syif Malam berbeza dengan cerita seram yang selalunya menampilkan bomoh atau ustaz. Ia tentang kehidupan rakyat biasa, orang-orang muda  yang cari duit dengan kerja lebih masa. 

“Kemudian datanglah seorang perempuan dan mereka dihantui oleh cerita-cerita mistik. Saya rasa ramai yang boleh kaitkan cerita ini dengan mereka,” kongsi Anas. 

Syif Malam dihasilkan oleh Empire Film Solution Sdn. Bhd dan Thinkerbell Studios Sdn. Bhd yang dijangka menemui penonton pada 7 Disember 2023.

Turut sama menjayakan filem ini ialah  menampilkan barisan pelakon seperti Taqim Zaki, Shahkimin, Zera Hariz, Kamarul Eqifshah, Sobri Anuar, Riezman Khuzaimi, Ismeth dan Mili Supina.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya