KUALA LUMPUR : Penyanyi, Aina Abdul, tidak menolak, saranan supaya peminat-peminat hadir ke konsert A Night With Aina Abdul (ANWAA) 3.0 dengan penampilan luar biasa pada Sabtu lalu di Axiata Arena, Bukit Jalil, merupakan ideanya sendiri.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Aina atau nama sebenarnya, Nurul Aina Abdul Ghani berkata, idea itu diwujudkannya kerana seringkali dia dilabel sinonim dengan fesyen busana berkonsep avant-garde.
“Kalau sebut Aina Abdul, saya ini sering dilabel suka memakai busana luar biasa, avant-garde. Orang akan ingat baju-baju yang saya pakai.
Jadi, saya buat keputusan adakan tema Aina Abdul untuk penganjuran konsert ANWAA 3.0 ini. Biasa orang lain kalau buat tema mesti bertemakan warna atau jenis pakaian misalnya.
“Tetapi kali ini kita buat berbeza sikit walaupun berani mati juga saya minta peminat jadi Aina Abdul,”katanya.
Aina berkata demikian semasa ditemui pada sidang media usai berlangsungnya konsert ANWAA 3.0 di Bukit Jalil, kelmarin.
Selain itu, kata penyanyi lagu Sepi dan Terus Hidup ini, dia sedar tema Aina Abdul itu terlalu besar namun dia ingin melihat idea dan kreativiti peminat dalam bergaya mengikut caranya.
“Kalau saya jadi peminat seorang artis macam Aina Abdul pun, saya akan cuba tampil begitu. Saya tengok ramai sahut cabaran itu.
“Bagi yang hadir tanpa berpakaian luar biasa pun, saya tak kisah. Itu tidak bermakna mereka tak sahut cabaran, tetapi mereka ada perwatakan tersendiri. Apa yang penting, saya amat berterima kasih dengan semua peminat yang datang menyokong persembahan konsert saya,”katanya.
Dalam pada itu, diminta untuk mengulas mengenai persiapan keseluruhan busana-busana yang diugayakan pada malam konsert, kata Aina, dia telah membelanjakan sebanyak RM520,000 untuk tiga mikrofon serta lima busana eksklusif yang ditempah khas.
Menurut Aina, seramai 40 krew ditugaskan untuk menyiapkan setiap persalinan yang ditampilkan dengan masa terhad.
“Kelima-lima busana yang digayakan saya hanya sempat buat percubaan sekali saja. Itupun sewaktu sesi raptai penuh yang berlangsung semalam (Jumaat).
“Cabaran kali ini amat berbeza sewaktu konsert Aina Abdul 2.0 di Istana Budaya tahun lalu. Namun Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar.
“Bayangkan, saya hanya ada masa empat minit untuk menukar setiap persalinan ketika konsert berlangsung. Itu antara tekanan yang saya dan krew perlu lalui, tapi syukur semuanya mengikut seperti yang dirancang,” katanya.
Ditanya mengenai gaun berwarna biru yang mengeluarkan kepulan asap sewaktu persembahan, Aina berkata, busana itu adalah rekaan khas daripada Zaimi Zulkifli.
“Dia seorang pereka yang inovatif apabila menggabungkan elemen sains dan fesyen dalam satu karya. Kalau anda tengok asap dan pergerakan baju itu ada jurutera yang mengawalnya di tepi pentas menggunakan alat kawalan jauh.
“Sebenarnya waktu sesi latihan, gaun itu tidak keluar asap, jadi saya dan seluruh pasukan sudah mula risau dan harap masalah ini tidak terjadi sewaktu konsert.
“Namun syukur kesemua busana hasil curahan idea saya bersama penata gaya, Abu Shaef Hamza berjaya diterjemahkan dengan baik dan setiap busana ada cerita disebaliknya,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN dan penganjur konsert tersebut, Datuk Mohd Aizuddin Ghazali berkata, kos keseluruhan konsert Aina Abdul 3.0 menelan belanja sebanyak RM1.8 juta.
“Konsert ini adalah percubaan pertama kami bekerjasama dengan Aina. Tapi saya amat bersyukur kerana kami memiliki keserasian yang baik dan semua masalah berjaya diatasi bersama.
“Seperti yang anda semua sedia maklum, konsert ini juga adalah kali pertama saya bekerjasama dengan artis tempatan dan Aina berjaya membuktikan kesungguhannya untuk memastikan konsert ini berjaya.
“Semoga kami mempunyai rezeki untuk terus berkolaborasi pada tahun depan. Menerusi konsert ini hampir 98 peratus tiket terjual dan kira-kira 10,000 penonton yang hadir,” katanya.
Konsert Aina Abdul 3.0 berjaya membuktikan kehebatan vokal Aina yang tiada tandingan apabila menyanyikan 34 lagu pada acara itu.