Kuala Lumpur: Pelakon, Farah Ahmad, 46, mendedahkan, dia bersyukur dan menumpang rasa bahagia dengan kelebihan yang ada pada Allahyarham suaminya, Pitt Hanif, yang sehingga kini masih didoakan ibu, Datuk Fauziah Nawi.
Menurut Farah, saban hari, ibu mentuanya itu, tidak pernah lekang mendoakan arwah Pitt meskipun sudah empat tahun arwah meninggal dunia.
“Saya nampak kehilangan arwah menaikkan darjatnya sebagai ibu. Arwah juga bertuah kerana dia meninggal dunia ketika ibunya masih hidup dan nama arwah sentiasa terselit dalam doanya.
“Malah ibu juga akan bacakan surah Yasin selepas solat Subuh setiap hari tanpa gagal buat arwah,” katanya ketika ditemui pada sidang media filem La Luna di ibu negara, baru-baru ini.
Selain itu, kata pelakon ini, dia juga berasa bertuah kerana ibu mentuanya itu sangat penyayang dan menyifatkan hubungan mereka berdua semakin rapat berbanding sebelum ini.
“Kebiasaannya apabila suami meninggal dunia, putuslah hubungan antara menantu dan mentua, tapi situasi itu berlaku kepada saya.
“Alhamdulillah hubungan kami semakin rapat selepas pemergian suami. Mungkin juga kami ada syarikat produksi bersama. Jadi, ia menambahkan kasih sayang antara kami berdua.
“Malah ibu juga lebih penyayang, lebih-lebih lagi terhadap cucu-cucunya. Ibu pantang kalau ada orang cuba mengganggu cucunya, dia akan ‘serang’ dulu,”katanya.
Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai soal jodoh, Farah kekal dengan prinsipnya untuk tidak terlalu memikirkannya.
“Dalam doa saya tidak terlintas soal jodoh, tetapi saya berdoa untuk kekalkan kerinduan saya supaya sentiasa teringat dengan arwah.
“Nak fikir soal pengganti atau kahwin lain memang tiada. Alhamdulillah, sekarang Allah beri saya rezeki dengan lebih luas untuk anak-anak. Merekalah kekuatan saya. Kalau saya rindu dengan arwah, saya akan buka telefon dan melihat gambar dan videonya,” katanya.
Pada 26 Oktober 2019, Pitt ditemui lemas ketika sedang memancing di Sungai Jelai, Kampung Mela, Kuala Lipis, Pahang.
Farah dan Pitt memiliki tiga anak iaitu Dhia Farhana, Mhia Farhana dan Thia Farhana.