KUALA LUMPUR: Dilabel sebagai artis contoh dan penyayang terhadap keluarganya, penyanyi, Alif Satar, bagaimanapun enggan menerima pujian jika datangnya dari cerita kesengsaraan orang lain.
Alif atau Muhammad Alif Satar, mengakui sedia maklum mengenai pujian yang diberikan warganet termasuk pakar motivasi terkemuka, Datuk Dr. Mohd Fadzilah Kamsah namun enggan berasa bangga dengan pujian berkenaan.
“Saya segan dengan pujian itu dan rasa tidak seronok kerana ia datang daripada cerita negatif orang lain.
“Ia mungkin kedengaran kelakar dan menyeronokkan di media sosial, tapi itu adalah kehidupan orang lain yang mungkin terjejas dan mengguris banyak hati.
“Saya enggan komen dan tidak mahu rasa berbangga dengan pujian itu kerana saya sendiri tidak tahu pengakhiran saya nanti bagaimana,” katanya.
Penyanyi Cukup Indah mengulas mengenai pujian yang diberikan Datuk Dr. Mohd Fadzilah Kamsah mengenai dirinya di aplikasi ‘X’ setelah tular isu pempengaruh, Alif Teega berkahwin dua kebelakangan ini.
Alif berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia di majlis sidang media konsert A Night With Alif Satar & The Locos And Anggi Marito, semalam.
Selain itu, menurut Alif, dia bukanlah lelaki sempurna dan semua pujian diserahkan kepada Allah yang telah menutup aibnya selama ini.
“Mana ada orang sempurna. Ini pun nasib baik Allah tutup aib saya. Jika Allah buka aib, saya pun tidak tahu apa akan jadi pada saya esok lusa.
“Saya tidak berani berkata apa-apa. Bila perkara ini jadi, kita ambil sebagai peringatan untuk bermuhasabah diri. Itu sahaja,” jelasnya.
Pemenang tempat ketiga di Anugerah Juara Lagu 37 (AJL37) itu juga mengakui terkena tempias apabila ada yang meninggalkan komen bertanya mengapa penyanyi itu berkahwin lagi.
“Saya juga terkejut bila bangun tengok ramai yang komen di Instagram.
“Mereka bertanya kenapa saya berkahwin lagi? Bila masa pula saya bernikah baru?” katanya ketawa.
Terdahulu, hangat di media sosial apabila seorang pempengaruh Alif Teega mengumumkan sudah berkahwin dua.
Namun begitu, adik iparnya, Amirul Adni Rustam mendakwa pempengaruh itu telah melakukan hubungan terlarang sejak setahun lalu selain dikatakan memukul isteri pertamanya, Aisyah Hijanah.