Afieq Shazwan ulang alik ke hospital pantau ibu - Utusan Malaysia

Afieq Shazwan ulang alik ke hospital pantau ibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon, Afieq Shazwan, meminta orang ramai mendoakan kesembuhan ibunya, Noor, 72, yang kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) akibat demam dan luka di bahagian kaki.

Menurut Afieq atau nama penuhnya Mohammad Shafieq Shazwan Zamros, 25, ibunya mengalami demam sejak Sabtu selain bisul dan nanah di bahagian kaki akibat digigit serangga semasa berkebun.

“Oleh sebab saya tinggal berdua dengan mak, bila nampak tidak sihat dan demam berlarutan, saya akan terus pergi klinik untuk dapatkan rawatan. Biasalah, awalnya memang mak tak mahu, tapi saya paksa juga.

“Selepas ambil darah, akhirnya doktor tulis surat untuk bawa mak ke hospital. Awalnya mereka syak mak mungkin terkena denggi sebab platlet darah rendah.

“Bila sampai hospital, doktor kata mungkin ada jangkitan lain. Petang ini baru hospital akan hubungi untuk maklumkan keputusan. Sementara itu saya akan ulang alik tengok mak di hospital,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Walau bagaimanapun, menurut Afieq, keadaan ibunya sudah makin pulih setelah diberi antibiotik oleh pihak hospital.

“Waktu demam, mak nak berjalan pun seperti terhuyung-hayang. Tapi selepas doktor beri antibiotik dan jaga pemakanan, keadaan ibu sudah semakin baik. Cuma tenaganya masih lemah.

“Tapi insya Allah tiada yang serius, minta sama-sama tolong doakan ya,” jelasnya.

Terdahulu, pelakon Rampas Cintaku itu memuat naik sekeping gambar memaparkan bangunan sebuah hospital di Insta Story miliknya.

Dalam pada itu, kelab peminatnya, Afieq Shazwan Fans, turut meminta orang ramai mendoakan keadaan ibu kepada Afieq yang sedang menerima rawatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN