Ada kekasih baharu, Atilia akui berkawan baik dengan bekas suami - Utusan Malaysia

Ada kekasih baharu, Atilia akui berkawan baik dengan bekas suami

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penyanyi, Atilia Haron, 49, mendedahkan, dia masih bersahabat baik dengan bekas suaminya, Adam Sofian, 45, meskipun kini telah mempunyai kekasih hati baharu.

Menurut Atilia, dia percaya perceraian tidak semestinya perlu memusuhi apalagi dia dan bekas suami sama-sama terlibat dalam industri seni.

“Sebenarnya, sudah lama kami tidak bersama (bercerai), sebelum fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi. Namun, kami tetap bersahabat baik. Tambahan pula dia juga orang industri.

“Ramai sebenarnya yang kasihankan saya selepas bercerai, iyalah, umur saya nak dekat menopaus, sudah cecah angka 49 tahun, tiada anak, jadi ibarat hidup seorang diri.

“Pun begitu, sejujurnya saya gembira menikmati rutin harian yang padat, ada sahaja aktiviti dari pagi sampai malam,” katanya.

Atilia berkata demikian semasa ditemui pada majlis santai dan pelancaran muzik video terbaharunya, Cinta Sampai Mati, di sini, semalam.

Selain itu, dedah Atilia, dia juga memilih untuk terbuka bercerita mengenai hubungan baharunya dengan kekasih yang dikenalinya sejak dua tahun lalu.

“Bila hidup single ini, tentulah ada yang mendekati. Sebenarnya dia ialah individu yang mengarahkan video muzik saya. Namanya, Shimy Latif dan sudah hampir dua tahun kami saling berkenalan.

“Berada dalam industri sama membolehkan kami saling memahami dan kini dalam fasa mengenal hati budi masing-masing.

“Sikap Shimy berlawanan dengan saya , jadi saya fikir dia pasangan yang mungkin serasi dengan saya. Tentang jodoh, kalau ada jodoh dengan dia, adalah. KIta serahkan sahaja pada Tuhan,”katanya.

Dalam pada itu, kata anak penyanyi terkemuka, Salamiah Hassan ini, dia juga sebenarnya selesa hidup sendiri kerana keterbiasaan sejak berpisah dengan Adam.

“Apabila kembali solo, saya dapat buat banyak benda yang tidak dapat saya lakukan ketika berkahwin seperti menyesuaikan diri dengan teknologi selain melakukan aktiviti yang membahagiakan saya.

“Sebenarnya, individu solo tak semestinya tak gembira, cuma orang salah faham. Hakikatnya saya sangat gembira,” katanya.

Untuk info, Atilia mendirikan rumah tangga dengan jurutera bunyi, Adam pada Ogos 2014 namun perkahwinan mereka tidak dikurniakan zuriat.

Sebelum itu, Atilia pernah berkahwin dengan Ariff Johan Abdul Aziz pada Disember 1998 namun bercerai pada Januari 2009.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya