KUALA LUMPUR : Seakan tetap mahu berdebat dengan netizen, penyanyi yang juga adik kepada Shila Amzah, Syada Amzah, 25, mendedahkan, dia mula bekerja dan meraih pendapatan sendiri sejak berusia 13 tahun.
Dipercayai, kenyataan itu keluarkan oleh Syada atau nama sebenarnya, Nursyuhada Amir Hamzah, bagi membidas tuduhan netizen yang menyifatkan dirinya selama ini satu beban buat Shila.
Malah, kata Syada, dia sudah mula berdikari dan tidak bergantung kepada orang lain sejak berada di tingkatan tiga.
“Salah adik nak serang ni. Saya mula bekerja sejak berusia 13 tahun, sara diri pada usia 15 tahun,” katanya.
Syada juga dengan beraninya memaklumkan, boleh menunjukkan penyata bank kepada netizen sekiranya orang ramai mahu melihat bukti.
Pun begitu, Syada tidak menolak, jika berbuat demikian, tuduhan riak pula akan menyusul daripada netizen.
“Betul-betul kelakar baca komen, kongsi penyata bank kata riak pula,” katanya.
Bagaimanapun ramai tidak mempercayai perkara itu sebaliknya mendakwa Syada mungkin menggunakan wang sendiri untuk keperluan peribadi namun perkara lain ditanggung Shila.
Isnin lalu, Syada mendakwa dia bakal dihala keluar daripada kediamannya yang bakal dijual selain sedang mencari rumah sewa.
Shila atau Nurshahila Amir Amzah, 33, menafikan dakwaan dia menghalau adik-beradiknya daripada banglo tersebut.
Jelas Shila, tujuan dia mahu menjual banglo berkenaan kerana ingin mencari rumah baharu yang lebih selesa untuk ibu mereka.
Isu ini terus berlarutan apabila Syafiq mendedahkan Shila tidak membuat sebarang perbincangan sebelum berhasrat menjual rumah tersebut.
Dia juga mendakwa Shila berniat menjual rumah tersebut kerana memiliki nilai tinggi dalam pasaran.
Terbaharu, ibu mereka, Fauziah Sarman turut mengeluarkan kenyataan seakan membuka pekung keluarga termasuk mendakwa tidak akan memaafkan perbuatan Shila yang telah mengeluarkan kata-kata kesat terhadapnya dalam satu perbalahan antara keluarga.