Trauma tetapi tidak serik ke Malaysia - Radja - Utusan Malaysia

Trauma tetapi tidak serik ke Malaysia – Radja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kumpulan Indonesia, Radja masih trauma berhubung insiden diugut bunuh baru-baru ini namun tidak akan pernah serik kembali ke Malaysia.

Vokalisnya, Ian Kasela berkata, perancangan konsert yang bakal berlangsung November depan jauh lebih penting berbanding perasaan takut menerima ugutan daripada penganjur terdahulu.

“Sebagai manusia, wajar untuk kami berasa trauma. Itu pasti akan ada tetapi kami akan tetap positif. Ada perkara lebih penting mahu difikirkan.

“Malaysia juga adalah rumah kedua kami. Mana mungkin kami takut untuk kembali ke sini lagi. Kami juga sudah tidak ambil peduli.

“Ini adalah isu dalaman penganjur itu sendiri. Cuma kami mengambil pendekatan untuk lebih berwaspada terutama dari segi kontrak dan penganjur,” ujarnya.

Radja ditemui ketika majlis pengumuman Live In Concert: Radja yang akan turut menampilkan Ella sebagai penyanyi jemputan.

Konsert yang bakal berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 12 November depan dibawakan oleh Orange International Entertainment.

Sebelum ini, Radja menerima ancaman bunuh daripada dua individu yang dipercayai wakil pihak penganjur selepas selesai mengadakan konsert di Stadium Tertutup Arena Larkin, Johor Bahru pada 12 Mac lalu.

Difahamkan, situasi cemas tersebut berlaku susulan salah faham yang berlaku antara pihak penganjur dan band berkenaan.

Pihak polis Johor segera melengkapkan siasatan berhubung dakwaan kes kumpulan muzik Indonesia dan dua suspek warga tempatan ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS).

Dalam pada itu, Ian menambah, pihaknya selepas ini tidak akan berurusan menggunakan orang tengah dan akan terus membincangkan sebarang perancangan dengan penganjur sesebuah acara itu sendiri.

“Selepas insiden tersebut, kami sangat menghindari orang tengah untuk komunikasi yang lebih aktif dan mengikut prosedur yang sepatutnya.

“Malah, pihak pengurusan juga menitik beratkan isu keselamatan serta memastikan komunikasi yang lebih aktif,” katanya.

Dalam pada itu, bercakap soal konsert, Ian berkata, mereka tidak mengambil masa lama untuk bersetuju dengan tawaran tersebut dan terbuka dengan sebarang perancangan lain selepas ini.

“Kami cuba move forward. Kami tidak membuat sebarang kesalahan dan semua tugasan telah dilaksana mengikut perjanjian.

“Cuma insiden seperti itu tidak boleh diduga. Di luar kawalan kami sendiri. Radja juga tetap manusia biasa.

“Dalam ruangan komen sendiri peminat susah tidak sabar untuk konsert tersebut. Kami memaafkan dan move on,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya