KUALA LUMPUR : Pempengaruh media sosial dan isteri pelakon Imran Aqil, Dahlia Rizal, 22, mendedahkan, gara-gara merajuk dengan suami, dia pernah sengaja tidur di luar bilik sebagai satu isyarat ‘protes’.
Menurut Dahlia, perbuatan itu dilakukannya kerana tidak berpuas hati dengan tindakan Imran yang tidak mengemas dan membasuh pinggan selepas makan.
“Saya tahu, kesalahan yang dilakukan Imran itu kecil saja. Dia tidak mengemas dan membasuh pinggan selepas saya menyediakan ayam masak kicap kegemarannya.
“Jadi saya pun protes sampai tidur di luar bilik dan baring di atas sofa ruang tamu. Saya ingatkan dia tak nak pujuk, tapi akhirnya dia datang dan dukung saya.
“Saya saja gaduh-gaduh manja dengannya sebab saya nak ajar dia supaya tidak mengulangi perkara itu pada masa akan datang,”katanya.
Tambah Dahlia lagi, sebagai isteri, dia mahu Imran tahu tugasnya sebagai seorang suami dan sama-sama menjaga rumah tangga dengan baik.
“Saya tak nak dia terbiasa dengan keadaan itu. Pun begitu, dia ada beritahu bukan dia tidak mahu mengemas sebaliknya terlupa.
“Saya ini pula suka jika pasangan sama-sama mengamalkan konsep saling bantu-membantu dalam menjalani kehidupan rumah tangga,”katanya ketika ditemui dalam sebuah majlis baru-baru ini.
Selain itu, ditanya mengenai perancangan untuk menimang cahaya mata, Dahlia berkata, dia belum bersedia untuk mempunyai zuriat dalam waktu terdekat.
“Sebelum bernikah, keluarga saya sudah ajak berbincang mengenai perancangan untuk mendapatkan zuriat kerana mereka nak saya ada anak segera. Tapi saya beritahu belum bersedia lagi kerana ada keinginan yang saya nak capai dulu.
“Jadi untuk memastikan saya dapat merealisasikan impian itu, saya tahu dan perlu bekerja keras. Kalau nak tahu saya susah nak luang waktu dengan Imran sekarang ini kerana saya pulang ke rumah pun jam lapan malam hampir setiap hari.
“Kalau nak ada anak sekarang ini, mental dan fizikal saya belum bersedia sepenuhnya. Lagipun saya nak luang waktu dengan suami terlebih dulu dalam tempoh setahun dua ini dan selepas itu ambil cuti kerja untuk fokus mendapatkan zuriat,” katanya.
Imran bernikah dengan Dahlia yang berusia 22 tahun pada 9 September lalu selepas setahun mengikat pertunangan.