Teater Bangsawan Dang Anum ditunda November 2023 - Utusan Malaysia

Teater Bangsawan Dang Anum ditunda November 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pementasan Teater Bangsawan Dang Anum yang dijadualkan berlangsung di Auditorium Bahagian Sumber Teknologi Pendidikan KPM, Bukit Kiara pada Sabtu, 14 dan 15 Oktober 2023 terpaksa ditunda ke suatu tarikh dan lokasi yang akan diumumkan kelak.

Menurut Pengarah dan Penerbit Teater Bangsawan Dang Anum, Amirul Haswendy Ashari, pihaknya akan meneruskan pementasan tersebut pada November ini.

Malah, katanya, perubahan tersebut terpaksa dilakukan pada saat-saat akhir kerana beberapa isu berkaitan lokasi persembahan dan kerjasama beberapa agensi terbabit yang masih tertangguh sehingga ke hari ini.

“Pertama sekali, Persatuan Seni & Budaya Redholah (The Redholah) ingin memohon ampun dan maaf, dan dengan berat hati, terpaksa mengumumkan penangguhan pementasan ini.

“The Redholah selaku penerbit pementasan telah melakukan segala yang terbaik dan berusaha memenuhi keperluan pihak-pihak terbabit, namun kami hanya mampu merancang.

“Saya berharap Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya akan terus memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada persatuan kecil kami yang masih memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar dalam merancakkan bidang seni dan budaya tempatan,” katanya.

Pihaknya juga memikul tanggung jawab sepenuhnya atas perubahan ini dan kini dalam proses pemberitahuan kepada semua pembeli dan peminat teater.

Katanya Amirul, pembeli tiket diberi pilihan sama ada untuk terus kekal bersama-sama The Redholah pada persembahan akan datang tanpa caj tambahan atau memilih pemulangan wang yang akan dilaksanakan dalam tempoh 14 hari bermula hari ini.

“Di sudut pandang yang lain, kami melihat perubahan ini memberi ruang masa yang lebih tenang kepada tenaga produksi untuk memperkemaskan lagi skrip, latihan, set dan props serta mencari lokasi persembahan yang lebih bertepatan dengan teater bangsawan.

“Selain itu, ia juga bagi memastikan pementasan Teater Bangsawan Dang Anum berjalan lebih lancar dan memberi kepuasan tontonan yang sewajarnya,” kata Amirul lagi.

Bercakap mengenai reaksi pelakon, Amirul bersyukur dan berterima kasih kepada barisan pelakon yang sangat memahami situasi yang berlaku dan mahu kekal bersama-sama produksi Teater Bangsawan Dang Anum.
Bahkan katanya, ada antara mereka pernah berdepan dengan dugaan yang lebih getir pada beberapa produksi teater tempatan sebelum ini.

Pementasan Teater Bangsawan Dang Anum menampilkan Ain Sufia sebagai Dang Anum, Azizul Ammar sebagai Megat Seri Rama atauLaksamana Bentan, Along Eyzendy sebagai Sultan Mahmud dan Adam Shahz sebagai Tun Beja Ali.

Selain mereka, teater ini turut menampilkan pelakon teater berpengalaman seperti Md. Hussin, Azhar Jalil, Lizart Rashid, Shareezwan, Myza Alid, Eyza Shariff, Affan Mohd dan ramai lagi.

Dalam pada itu, The Redholah akan tetap meneruskan usaha mengumpul dana untuk membantu pelajar-pelajar asnaf di sekolah terpilih.

“Seperti yang diumumkan sebelum ini, hasil jualan tiket Pementasan Teater Bangsawan Dang Anum akan disumbangkan kepada pelajar-pelajar asnaf di sekolah terpilih.

“Selain itu, kami turut mengalu-alukan sumbangan dari syarikat-syarikat korporat dan badan swasta yang berminat untuk turut serta di dalam program CSR persatuan The Redholah.

Sumbangan mereka akan disalurkan kepada beberapa program CSR yang kini dalam perancangan,” kata Amirul lagi.

Pementasan Teater Bangsawan Dang Anum adalah projek pementasan teater bangsawan pertama The Redholah di bawah Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Untuk perkembangan lanjut mengenai aktiviti persatuan, sila ikuti laman sosial Instagram, Facebook dan Tiktok The Redholah atau menghubungi talian 014 368 5233 atau emel ke [email protected]

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN