KUALA LUMPUR : Menggamatkan dunia seni hiburan antarabangsa menerusi keputusannya membuat persembahan tarian di Kelab Kabaret Crazy Horse di ibu kota Paris, Perancis pada minggu lalu, anggota kumpulan Blackpink, Lisa Manoban bagaimanapun mendapat lampu hijau daripada ibunya, Chitthip Bruschweiler.
Menurut sumber dan laporan media antarabangsa, ibu Lisa turut hadir menyaksikan persembahan tarian penyanyi berusia 26 tahun itu dan menyifatkan tarian anaknya tidak lucah sebagaimana yang disangka ramai.
“Saya ingatkan, tariannya akan lebih seksi daripada apa yang dipersembahkan,”kata Chitthip merujuk kepada persembahan anaknya di kelab kabaret terkemuka tersebut.
Malah, menurut beberapa pengunjung yang berada di lokasi yang sama, ibu Lisa merupakan antara penonton yang paling kuat bersorak sebagai tanda sokongan semasa artis popular tersebut melakukan persembahan tarian.
Berikutan itu, rata-rata peminat Blackpink yang dikenali sebagai Blinks mula menghujani ruangan komen di platform X dan menyifatkan Chitthip sebagai seorang ibu terbaik di dunia.
Malah, rata-rata peminat juga kagum dengan sokongan penuh yang diberikan oleh Chitthip yang secara tidak langsung ‘bersetuju’ bahawa anaknya itu kini sudah cukup dewasa.
“Antara impian Lisa adalah untuk membuat persembahan tarian di kelab terkemuka tersebut dan dengan sokongan yang diberikan oleh seorang ibu seperti Chitthip, Lisa akhirnya berjaya menggapai apa yang diinginkan.
“Apa yang penting, persembahan Lisa tidak menjurus ke arah tarian lucah atau tidak senonoh sebagaimana yang disangka ramai,”tulis seorang pengguna X.
Terdahulu, keputusan Lisa untuk membuat persembahan di Kelab Kabaret Crazy Horse Paris mendapat kritikan ramai memandangkan kelab tersebut terkenal menyajikan persembahan bercorak lucah.
Di sebalik kritikan yang diterima, Lisa bagaimanapun mendapat sokongan penuh daripada keluarga dan teman-teman artis lain.
Antara artis yang turut hadir memberikan sokongan ialah anggota Blackpink, Jennie, Jisoo dan Rose.
Turut hadir sama ialah Austin Butler,Kaia Gerber, Rosalia termasuk rakan artis dari Thailand iaitu Thanaerng Kanyawee Songmuang dan pengacara, Woody Vuthithorn Milintachinda.