HULU LANGAT : Penyanyi, Aina Abdul, 30, mendedahkan, gara-gara komen maestro terkemuka tanah air, Datuk Ramli MS, dia dibelenggu dengan perasaan tercabar sehingga kemudiannya berjaya menghasilkan album sulung berjudul Imaji.
Menurut Aina atau nama sebenarnya, Nurul Aina Abdul Ghani, dia sedar sebagai seorang penyanyi di Malaysia, menghasilkan sebuah album adalah satu keperluan dan tidak hanya boleh selesa dengan kerap menampilkan single semata-mata.
“Sebenarnya, kata-kata Tok Ram semasa kami sama-sama menjadi juri untuk program Big Stage sebelum ini memberi kesan kepada saya. Ketika itu, saya dengar dia cakap seorang penyanyi, sebelum sibuk nak buat konsert, kena ada album dulu.
“Tak tahu kenapa, saya jadi menggeletar bila dengar. Walaupun malam itu belum berakhir, saya boleh rasa seolah-olah semua orang sedang ketawakan saya. Saya dapat rasa ada suara-suara sinis kata padan muka.
“Jujurnya, memang saya rasa tercabar, rasa sangat kerdil ketika itu bila duduk bersebelahan dengan Tok Ram. Rasa macam nak balik terus pun ada. Kalau saya ada kuasa magis, saya nak siapkan album pada ketika itu juga dan tunjukkan padanya,”katanya.
Aina berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pelancaran album terbaharunya yang berjudul Imaji di Lereng Tanah, di sini, semalam.
Bagaimanapun, tambah Aina, kata-kata Tok Ram itu diambil dan dijadikan sebagai pembakar semangat untuk dirinya menetapkan fokus demi memastikan penghasilan album itu berjalan dengan sempurna.
Tidak cuma itu, Aina juga mengakui, album Imaji dihasilkan bagi menutup mulut beberapa pihak yang sering mempersoalkan tindakannya mengadakan konsert di Axiata Arena meskipun tidak mempunyai album.
“Situasi ini menyebabkan saya turut bersedih. Kalau artis luar negara, ada yang hanya mempunyai dua lagu hit, tetapi tetap boleh lakukan konsert.
“Saya cuba bawa satu ‘movement’ di mana penyanyi generasi baru macam saya, walaupun kita tak punya banyak lagu hit, tapi boleh lakukan persembahan seperti ‘showcase’ dan sebagainya.
“Kalau di luar negara boleh, kenapa di sini tidak boleh bukan? Saya rasa stigma ini perlu diubah,”katanya.
Dalam pada itu, berkongsi lanjut, album Imaji mengandungi 14 buah lagu hasil ciptaannya sendiri dalam genre balada, pop dan indie.
Album itu yang dihasilkan pada anggaran kos berjumlah RM300,000 itu katanya, menjadi bukti akan susah senangnya kerana begitu banyak cabaran telah diharungi terutama dari aspek kesuntukan masa untuk menyiapkannya.
“Cabaran utama menyaksikan saya berperang dengan masa. Ada hari yang saya menyanyi, malam selepas itu saya rakam untuk album dalam tiga hingga empat jam.
“Saya sampai tidak nampak siang dan malam. Masa yang saya ada untuk keluarga juga sangat kurang sepanjang saya buat album. Saya sampai cakap pada keluarga, kalau nak jumpa saya datang sahaja rumah sebab saya tak memang tak dapat nak keluar,”katanya.
Menyifatkan album Imaji itu sebagai hadiah hari lahir paling bermakna buat dirinya, Aina menjadikan ia sebagai cenderahati kepada peminat setia yang telah lama menantikan album sulungnya.