Saya turut bersedih dengan nasib rakyat Palestin - Ella Aminuddin - Utusan Malaysia

Saya turut bersedih dengan nasib rakyat Palestin – Ella Aminuddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Prihatin dengan nasib rakyat Palestin yang ditindas Israel, penyanyi dan Ratu Rock Ella, turut tidak berpeluk tubuh dengan membuat sumbangan menerusi kutipan konsertnya di Pulau Pinang yang akan diadakan pada Sabtu depan.

Menurut Ella atau nama sebenarnya, Nor Zila Aminuddin, sumbangan itu akan disalurkan terus ke Tabung Cinta Gaza Malaysia.

Kata Ella, kezaliman yang dilakukan oleh tentera zionis terhadap saudara sesama Islam di Gaza sangat meruntun hatinya dan enggan menunggu lama untuk turut menghulurkan sumbangan.

“Kita semua sedia maklum dengan berita sedih yang sedang berlaku di bumi Palestin. Saya amat sedih dengan apa yang sedang terjadi.

“Seperti anda semua, terlalu perit untuk mengenangkan nasib mereka dan saya cuba membantu apa yang terdaya.

“Kami akan salurkan sebahagian daripada hasil jualan tiket konsert kepada tabung Cinta Gaza Malaysia bagi meringankan beban penduduk Gaza,” katanya.

Ella berkata demikian menerusi satu perkongsian video dalam Instagram, semalam.

Selain itu, penghibur berusia 57 tahun itu turut berharap penonton konsert di Pulau Pinang nanti memberi sokongan terhadap rakyat Palestin yang sedang bertarung nyawa menentang kekejaman tentera Israel.

“Saya harap anda semua dapat doakan keselamatan dan kesejahteraan saudara kita di sana. Dengan rasa rendah diri, kami selaku penganjur sudah bersetuju untuk berkongsi solidariti bersama Palestin.

“Bertemakan Glam Rock Solidariti Palestin, ayuh kita tunjukkan kebersamaan dan kasih sayang buat mereka,” katanya.

Konsert Ella Jilid Akhir Puteri Kota Edisi Utara adalah siri jelajah ketiga selepas Kuala Lumpur dan Singapura.

Sehingga kini, lebih 1,300 bangunan di Semenanjung Gaza telah musnah dalam serangan balas Israel.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), agensi kemanusiaan PBB OCHA memaklumkan sebanyak 5,540 unit rumah musnah dan hampir 3,750 lagi rumah rosak teruk sehingga tidak lagi dapat didiami.

Serangan udara di Deir al-Balah turut menyebabkan sekurang-kurangnya 35 orang cedera dengan kanak-kanak antara korban dan mangsa cedera pada Khamis lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya