SHAH ALAM : Penyanyi dan adik Shila Amzah, Amir Syahir,28, mengakui, hubungannya dengan setiap ahli keluarga masih baik dan menerusi kemelut yang berlaku, dia memilih untuk enggan memihak kepada sesiapa.
Kata Amir, dia masih tinggal serumah dengan ibu dan adik-beradik yang lain namun memilih untuk tidak bersuara mengenai kemelut keluarganya.
“Saya masih tinggal serumah dengan keluarga iaitu emak, abang dan adik. Tapi menuju hujung minggu, saya akan tinggal dengan kakak untuk fokus kepada pertandingan Famili Duo musim ketiga (FD3).
“Saya tiada hak untuk bercakap apa-apa tentang isu ini kerana itu hanya melibatkan kakak dan yang lain.
“Saya masih mempunyai hubungan baik dengan semua kerana keluarga tetap keluarga. Kalau mereka memerlukan bantuan, saya selalu ada,” katanya.
Syahir ditemui Utusan Malaysia di majlis sidang media selepas konsert minggu pertama pertandingan Famili Duo, semalam.
Dia turut sedar bahawa namanya turut dijaja abangnya, Amir Syafiq menerusi satu siaran video di platform media sosial.
Namun Syahir tidak tertarik untuk menonton video berkenaan sebaliknya memberikan fokus untuk pertandingan FD3.
“Saya sampai sekarang tidak tonton siaran langsung berkenaan lagipula kakak banyak bagi kerja dan latihan, saya tiada masa.
“Selepas kes itu, saya hanya banyak bercakap dengan Syada kerana sibuk dengan Familio Duo. Saya kena jadi rasional dan fikir lebih matang,” jelasnya.
Sebelum ini kemelut adik beradik penyanyi Shila Amzah heboh diperkatakan oleh warganet apabila adiknya Syada Amzah memuat naik Instastory mencari rumah sewa kerana rumah yang didiaminya bakal dijual. Syada turut menyifatkan dia dihalau daripada rumah seperti haiwan jalanan.
Tidak lama selepas itu, adik lelakinya, Amir Syafiq turut mendedahkan bahawa Shila berkelakuan biadap kepada ibunya, Fauziah Sarman.
Dia turut menyatakan Shila membuat keputusan menjual banglo kediaman mereka tanpa berbincang dengan keluarga.
Shila tampil membuat kenyataan pada Khamis bahawa dia tidak berniat menghalau tetapi menjual rumah banglo tersebut untuk mencari kediaman yang lebih baik.
Penyanyi itu turut menambah bahawa rumah itu dibeli atas namanya hasil pendapat nyanyian. – UTUSAN