KUALA LUMPUR : Pelakon, Badrul Muhayat, 55, tidak menolak perkahwinan kali ketiga yang dilaluinya kini telah menyaksikan banyak perubahan positif pada diri dan kehidupannya.
Menurut Badrul, dia bersyukur dikurniakan isteri seperti Norhayati Zulkapli, 50, yang disifatkan sebagai seorang wanita yang bijak dan banyak menyuntik semangat untuknya berubah menjadi insan yang lebih baik.
“Saya rasa menerusi perkahwinan ini, banyak perubahan yang baik dapat dilihat pada diri. Banyak yang berubah sebenarnya pada diri saya ini tetapi saya lebih selesa untuk menjadikan ia rahsia peribadi.
“Bagi saya, sesiapa sahaja pun pasti mahu pergi ke arah kebaikan. Apalagi bila Allah SWT kurniakan peluang untuk berkahwin lagi, rasanya dalam 10 itu, sekurang-kurangnya ada enam atau tujuh perkara yang membuatkan saya jadi insan lebih baik,”katanya.
Badrul berkata demikian semasa ditemui pada Majlis Tayangan Perdana filem Cerana Biduk Bu Merah yang diadakan di ibu negara, baru-baru ini.
Jelas pelakon senior ini, usianya yang menjangkau angka 50-an juga membuatkan dirinya sedar dan banyak memikirkan mengenai penghujung perjalanan hidupnya.
“Pertemuan dan jodoh ini juga daripada Allah SWT. Dia punya kuasa. Ada orang kenal lama pun tak menjadi. Jadi saya banyak fikir, usia saya pun dah begini, kita pun tak tahu hujung perjalanan kita macam mana.
“Jadi, kami berdua tak ambil masa lama untuk kenal dan kahwin. Siapa sangka, dari kerana kopi, kami berkawan dan berjodohan.Terus-terang, sejak ada isteri sekarang ini kehidupan saya lebih terurus.
“Berat badan pun bertambah sikit berbanding dulu, kurus sangat. Maklum sajalah, ada orang jaga makan minum, pakaian dan sebagainya kini. Sekarang pun dah ada teman bercinta, berkasih sayang, bergaduh, kiranya isterilah kini kawan rapat saya,”katanya.
Berkongsi lanjut, kata Badrul lagi, memandangkan majlis resepsi masih belum diadakan, dia merancang untuk berbuat demikian pada hujung tahun ini.
Bagaimanapun, tarikh sebenar masih belum dapat diberikan memandangkan dia dan isteri yang menjalankan perniagaan produk kesihatan sama-sama memiliki jadual yang padat.
Sebelum mendirikan rumah tangga dengan Norhayati, 50, pada 18 April lalu, Badrul pernah melalui dua perkahwinan namun jodohnya tidak berpanjangan.
Hasil perkahwinan lalu, aktor tersebut dikurniakan dua cahaya mata, Nur Delisha, 16 dan Badrul Hidayat, 13, yang kini tinggal dengan bekas isterinya.
Sementara itu, mengenai Cerana Biduk Bu Merah yang bakal ditayangkan 12 Oktober ini, Badrul berharap watak antagonis dibawakan tidak membuatkan penonton benci kepadanya.
“Dalam filem yang turut dibintangi Fasha Sandha, Pekin Ibrahim dan Wan Hanafi Su ini saya jadi penjahat iaitu terbabit dalam sindiket ‘menjual’ wanita.