Sabri Yunus: Saya bukan agamawan, tetapi tidaklah terlalu jahil sampai tak tahu apa-apa - Utusan Malaysia

Sabri Yunus: Saya bukan agamawan, tetapi tidaklah terlalu jahil sampai tak tahu apa-apa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pengarah dan penerbit, Sabri Yunus, terkilan apabila pernikahannya dengan Angeline Tan dituduh sebagai tidak sah oleh seorang ustaz berstatus penceramah bebas di media sosial.

Menurut Sabri, tuduhan yang dibuat merupakan satu tuduhan yang amat berat sekali gus merujuk seolah-olah dia sedang melakukan zina.

Sedangkan, kata Sabri, dia cukup yakin bahawa lafaz ijab dan kabulnya tempoh hari tidak mengelirukan sebagaimana yang didakwa ustaz terbabit.

“Ada satu kelompok yang sangat kecil nisbahnya memberi pandangan yang sangat negatif di media sosial.Saya secara peribadi sedar apa akan berlaku pada sesetengah pihak bila kami buat keputusan untuk bernikah di Perlis dan memohon untuk diakadkan oleh Mufti, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Dr Maza).

“Saya ada sebab tersendiri memilih Perlis. Tetapi saya tak terbayang bahawa seorang ustaz dengan jelas dan terang mengata (menuduh) pernikahan kami tidak sah dan terus membuat kesimpulan kami akan berzina. Berat tuduhan itu.

“Dalam video itu, dikatanya kabul yang mengelirukan.Siapa yang keliru? Dalam majlis itu, hanya perlu dua saksi walau hampir 25 orang yang hadir. Saksi dua orang tak keliru dan 25 hadirin juga tak keliru,”katanya dalam satu hantaran di Facebook semalam.

Selain itu, kata Sabri, dia tidak mengerti mengapa ustaz terbabit membuat tuduhan seperti itu memandangkan sepatutnya tidak wujud sebarang pertikaian.

“Orang di luar atau jauh dan tidak bersama dalam majlis tidak ada isu dalam penyaksian majlis itu. Dia dengar atau tidak, faham atau tidak, bukan isu pengesahan. Soal pandangan mazhab dah jelas ada khilaf dan setujunya.Saya tak fikir ada orang tak faham bila kabul jawab saya setuju.

“Tak mungkin ada orang akan fikir setuju pada hal lain selain dari setuju hal nikah. Jelas wali sebut, ‘aku nikah’.Bila kabul sebut setuju. Ia tentu saja menyambut pada kata nikah itu.

“Pada yang kata dia keliru itu adalah orang yang sangat lemah pemikirannya atau yang sengaja melemahkan fikirannya. Pada yang sengaja melemahkan fikiran, dia adalah selemah-lemah manusia,”katanya.

Menerusi hantaran yang sama, Sabri turut menjelaskan mengenai keputusannya memilih Perlis sebagai lokasi pernikahan bersama Angeline, sekali gus mengukuhkan hujahnya mengenai tuduhan yang dilemparkan.

“Lagi satu , pernikahan kami di dalam negeri dan dalam negara kita yang mana hal ehwal agama adalah di bawah kuasa kerajaan negeri. Sama juga dengan negeri lain. Dan tentunya tidak melanggar apa-apa akta berkaitan urusan pernikahan itu.

“Saya tahu bahawa ustaz ini selama ini banyak tidak sependapat dan sealiran dengan Dr Maza, jurunikah kami dan ada bau permusuhan antara mereka. Dalam video tersebut saya dapat rasakan permusuhan itu apabila ustaz ini mengheret beberapa isu lain yang tiada kena mengena dengan isu kami.

“Ini menunjukkan dia cuba mengukuhkan pandangannya terhadap jurunikah kami. Janganlah kami dijadikan mangsa kebencian tuan kepada seteru tuan. Hari ini saya baca banyak lagi pandangan ulama lain akan isu ini. Ternyata berbeza dengan pandangan ustaz ini,”ujarnya.

Sementara itu, Sabri turut meminta supaya semua pihak tidak mudah meletakkan hukum atas dasar kebencian semata-mata apatah lagi kenyataan seperti itu datang daripada seorang agamawan yang seharusnya dipandang mulia.

“Agamawan tidak harus bersikap begitu. Tidak terselit keikhlasannya. Jujurlah,antara tidak sah dengan tidak sempurna dua perkara berbeza. Sedangkan yang kita rasa tak sempurna itu sempurna pula pada yang lain.

“Khilaf dan salah dua perkara berbeza. Kalau sama kenapa ada dua sebutan. Saya tidaklah orang agamawan yang mendalami akan hukum hakam tetapi tidaklah terlalu jahil sehingga tidak tahu apa-apa.

“Saya juga tahu memilih. Memilih bermakna tidak borong semua dari satu bakul,”katanya.

Dalam pada itu, Sabri turut meluahkan rasa terima kasih kepada semua pihak termasuk peminat dari seluruh Malaysia yang telah menitip doa yang baik buat dirinya dan Angeline sempena pernikahan mereka.

Pada Sabtu lalu, Sabri mendirikan rumah tangga dengan pelakon Angelina Tan.

Pasangan itu dinikahkan oleh Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin kira-kira pukul 10.30 pagi di kediamannya di Perlis.

Pun begitu, pernikahan pasangan tersebut menjadi perdebatan di media sosial apabila terdapat seorang penceramah bebas mendakwa akad nikah mereka berdua tidak sah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya