KUALA LUMPUR : Pelakon dan pengacara, Janna Nick, tidak menolak, ada kebimbangan di hati seandainya perkataan atau perbuatan sepanjang memegang watak Misha dimakbulkan Allah SWT ketika menjayakan penggambaran drama berjudul Surat Dari Tuhan di Mekah dan Madinah.
Menurut Janna, ini kerana watak yang dibawakan itu mempunyai sisi jahat yang melampau dan sebagai pelakon, dia perlu menjayakan tugas tersebut dengan sehabis baik.
“Watak Misha yang saya bawakan menggambarkan seorang menantu yang jahat! Rakaman pula dijalankan di Tanah Suci Mekah, bayangkan betapa mencabarnya saya perlu galas tugas itu.
“Ada kala apabila saya tengah ‘shoot’, terutama di Mekah dan Madinah, saya jadi takut untuk teruskan adegan-adegan tertentu. Risau perkataan yang jahat dari mulut watak Misha itu dimakbulkan. Nauzubillah.
“Jadi, saya banyak istighfar setiap kali ada adegan yang keluarkan kata-kata kesat,”katanya.
Bagaimanapun, menerusi watak antagonis yang dibawakan itu, Janna berharap penonton dapat membuat penilaian dengan baik dan menyerap mesej penting yang diterapkan dalam naskhah berkenaan.
“Saya pasti watak jahat saya ini bakal menjentik emosi penonton dan harap drama ini dapat sampaikan mesej yang mendalam kepada penonton.Jujurnya, bagi saya, drama Surat Dari Tuhan ini merupakan sebuah naskhah yang sarat dengan mesej positif.
“Sepanjang penglibatan dalam seni, ini merupakan watak paling jahat pernah saya bawa. Namun, jauh di sudut hati, saya rasa sedih juga dengan watak Misha,”katanya.
Drama terbitan Mache All Star United Sdn Bhd ini diarahkan oleh Pali Yahya dan merupakan hasil karya daripada Rozie Rashid dan Soula Nordin.
Selain Janna, drama bersiri 30 episod ini menampilkan nama-nama pelakon lain seperti Shukri Yahaya, Ummi Nazeera, Sheila Mambo, Trisha Ooi, Qistina Raisah dan Wanns Ahmad.
Surat Dari Tuhan bakal bersiaran bermulai 30 Oktober ini, setiap Isnin hingga Khamis pada pukul 10 malam di TV3.