PROGRAM realiti televisyen (TV) yang diwujudkan untuk mencari bakat nyanyian berdepan perubahan sejak ia diperkenalkan kepada masyarakat sekitar awal era 70 an lagi.
Kita melihat, sepanjang lebih lima dekad, bermacam-macam jenis pertandingan nyanyian TV yang diwujudkan untuk memenuhi citarasa dan permintaan penonton.
Dunia penyiaran tempatan tidak kurang meriah menayangkan rancangan TV berkonsepkan pertandingan nyanyian seperti Akademi Fantasia, Malaysian Idol, Bintang RTM, One In A Million dan banyak lagi.
Rancangan tersebut kemudian berevolusi dengan pelbagai idea dan konsep lebih baru antaranya seperti Mask Singer Malaysia, All Together Now, Mentor, Vokal Mania, Gegar Vaganza dan banyak lagi.
Selepas lambakan idea original dan adaptasi, penerbit dan stesen TV mungkin sudah buntu memikirkan konsep apa lagi yang ingin mereka ketengahkan.
Kebuntuan itu akhirnya menimbulkan persoalan, adakah rancangan TV seperti ini masih relevan? Dengan lagi adanya platform media sosial yang sudah seakan mengambil alih peranan TV.
Penyanyi bertaraf legenda yang terkenal dengan jolokan sifu iaitu Datuk M. Nasir berpendapat, rancangan realiti berkonsepkan pertandingan masih relevan untuk mencari bakat-bakat baru dalam bidang tersebut.
“Bagi saya tak ada masalah untuk kita teruskan program TV mencari bakat nyanyian. Bahkan kita masih perlukannya untuk mencungkil bakat penyanyi-penyanyi baru selain menggunakan media sosial untuk tujuan tersebut.
“Cuma mungkin isunya adalah idea, yang mana kita ketandusan. Sebahagiannya kita ceduk idea luar sebab kita kekurangan idea-idea lokal yang menyengat.
“Jadi sekarang isunya bukan relevan atau tidak, tetapi menarik atau tidak idea yang dipersembahkan,” katanya.
Mengulas lanjut, rancangan seperti itu tentunya masih ada pengikut dan kekal mendapat sambutan sampai bila-bila.
“Saya pasti stesen TV akan kaji rating sebelum memutuskan untuk mencipta dan menayangkan rancangan seperti ini. Penayangan sesuatu program itu membuktikan adanya permintaan dari penonton.
“Cuma secara peribadi, saya berpandangan rancangan yang hanya sekadar konsep nyanyian semata-mata mencapai puncak beberapa tahun lalu.
“Sekarang ia perlu disokong dengan elemen yang lain untuk terus ditonton masyarakat,” kongsinya.