KUALA LUMPUR : Penyanyi dan anggota kumpulan Indigo, Bad, dilaporkan meninggal dunia pada pukul 7 malam tadi semasa berada di tempat kerjanya yang terletak di Ampang, Selangor.
Bad atau nama sebenarnya Badrul Izhan Yeop Abdullah menghembuskan nafas terakhir pada usia 48 tahun.
Khabar duka itu telah disahkan oleh penyanyi Liza Hanim menerusi satu hantaran dalam Instagram sebentar tadi.
“Innalillahiwainnailaihirojiun. Baru dapat berita Bad Indigo telah kembali ke rahmatullah.
“Saya akan kongsi butiran lanjut dari semasa ke semasa. Al-Fatihah,” katanya.
Sementara itu, menerusi perkongsian sebuah portal hiburan, sahabat kepada Allahyarham yang mahu dikenali sebagai Panjang memberitahu Bad rebah secara tiba-tiba sebelum pulang ke rumah.
Malah dia masih belum mempunyai maklumat mengenai punca kematian sebenar dan sedang menunggu siasatan pihak berkuasa.
“Arwah meninggal di tempat kerja. Dia tiba-tiba sesak nafas sebelum balik kerja. Sekarang pihak polis pun masih jalankan siasatan.
“Urusan pengkebumian akan dimaklumkan pihak keluarga,”katanya.
Bad atau nama sebenarnya Badrul Izhan Yeop Abdullah, 48, kehilangan kesemua jari kaki kiri sejak Mac tahun lalu akibat kencing manis.
Untuk rekod, Bad mendirikan rumah tangga buat kali kedua dengan penyanyi Ashira pada 11 Mac 2021 selepas mereka mula rapat ketika bergelar peserta Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7).
Tetapi selepas tiga bulan mendirikan rumah tangga, pasangan itu diduga dengan masalah kesihatan Bad yang menghidap diabetes sehingga perlu memotong semua jari kaki kirinya.
Jodoh tidak panjang, mereka mengesahkan sudah bercerai pada 23 Jun lalu tanpa berkongsi lanjut punca perpisahan tersebut. Pasangan itu tidak dikurniakan cahaya mata