ISU penindasan rakyat Palestin hangat diperdebatkan masa ini dengan penglibatan penggiat seni global yang sebilangan besar turut mengutuk kekejaman rejim Israel.
Perang di Gaza juga menyaksikan kemunculan artis-artis K-Pop yang tampil bersuara dan menunjukkan solidariti untuk rakyat Palestin yang berdepan kejahatam zionis.
Berikut kami ketengahkan empat bintang K-Pop yang lantang bersuara dan menuntut agar kekejaman terhadap rakyat Palestin dihentikan.
1) BM KARD
Mathew Kim merupakan penyanyi Korea Selatan yang terbuka menunjukkan sokongan terhadap Palestin.
Kekejaman yang dihadapi penduduk Palestin membuatkan penyanyi ini terlalu bersedih sehingga membuatkan dia enggan menyambut hari kelahirannya baru-baru ini.
“Saya berpeluang menyambut hari jadi sementara terlalu ramai yang tinggal di Gaza tidak dapat menyambut hari kelahiran mereka.
“Mohon doakan mereka di sana yang terkorban dan yang masih berjuang untuk hidup,” tulisnya di platform X.
2) JAY PARK
Jay Park juga antara selebriti Korea yang lantang menyuarakan kutukan terhadap kezaliman rejim zionis.
Sokongannya terhadap rakyat Palestin bermula sejak 2021. Malah, penyanyi ini sebelum menutup akaun Instagramnya sempat berkongsi tanda sokongan kepada Palestin.
“Anda tidak perlu menjadi seorang Muslim untuk membela Gaza, cukup menjadi seorang manusia,” kongsinya.
3) JAE
Bekas anggota kumpulan Day6 ini pada 2021 menerusi platform X pernah mengajak peminatnya untuk memberi sumbangan buat penduduk yang terkesan di Palestin.
“Tidak banyak maklumat yang saya tahu untuk memberi pandangan tetapi yang pasti mereka memerlukan bantuan. Saya menyeru agar kita sama-sama berikan bantuan,” kongsinya.
4) KEVIN
Anggota kumpulan the Boyz berang apabila dituduh menyokong rejim zionis sedangkan penyanyi ini berbeza pandangan tentang apa yang berlaku di Palestin.
Menerusi platform X, penyanyi ini tegas menolak dakwaan dirinya menyokong Israel.
“Saya tiada masalah kalau nama saya dikaitkan dan membuka mata orang tentang isu ini. Tapi nilai semula tujuan anda jika tuduhan itu hanya menimbulkan kebencian.
“Dan kenapa pula saya mahu menyokong perkara ini? (kekejaman Israel),” tegasnya.