KUALA LUMPUR : Penyanyi, Sufian Suhaimi mengejutkan ramai pihak apabila dia didakwa sudah menghantar rombongan merisik kepada teman wanitanya yang berusia 23 tahun sekali gus memberi bayangan bahawa dia bakal menamatkan zaman bujang tidak lama lagi.
Menerusi satu hantaran video yang dimuat naik di TikTok @hairamikayla00, wanita jelita yang berjaya menambat hati Sufian dilihat mengenakan busana berwarna krim lengkap berinai putih di tangan.
Dalam rakaman itu juga memaparkan momen menyarung cincin di jari manis sebelah kiri.
Difahamkan, majlis tersebut diadakan secara tertutup yang hanya dihadiri keluarga terdekat dan rakan rapat.
Di samping itu, pelantun lagu Menggengam Bahagia turut hadir dengan memakai kemeja berwarna putih. Pasangan sama cantik sama padan ini turut merakam foto bersama sebagai kenangan manis.
Terdahulu, pemilik nama Sufian Haji Suhaimi mendedahkan hatinya sudah dimiliki oleh seorang wanita bertuah sejak tahun lalu. Bagaimanapun, dia memilih untuk tidak berkongsi identiti wanita kerana risau kekasihnya tidak selesa.
Untuk rekod, Sufian pernah bertunang dengan aktres, Elfira Loy patahun 2017 namun ikatan itu terlerai selepas empat bulan.