KUALA LUMPUR: “Mak mertua saya faham. Dia juga pemain industri. Sebelum kahwin pun saya begini, jadi itu bukan satu isu baharu.”
Demikian jawapan pelakon, Elisya Sandha selepas berdepan kecaman segelintir warganet yang kasihan dengan ibu mentuanya yang juga penerbit, Sheila Rusly bermenantukan dirinya.
Elisya yang dikecam lantaran hantaran baharu di media sosialnya yang dikatakan terlalu seksi dan tidak sensitif bagaimanapun tidak melatah dan percaya ibu mentuanya memahami tuntutan kerjanya.
“Ada juga baca komen macam itu sampai terdetik dalam hati, mama (Sheila) kena marah ke? Tetapi fikir balik, saya kenal ibu mentua saya.
“Dia faham kerja saya dan seorang yang sangat terbuka. Saya juga bukan wanita yang selalu berpenampilan seksi. Itu adalah tuntutan kerja untuk majalah kan.
“Suami saya pun tidak menegur hantaran tersebut. Cuma jika dia ada tegur, saya akan padam dan ganti dengan hantaran baharu,” ujarnya kepada Utusan Malaysia.
Adik kepada pelakon, Fasha Sandha itu turut menerima kecaman lantaran dikatakan tidak sensitif dengan isu pergolakan dan kekejaman regim Zionis di Gaza, Palestin.
Dalam pada itu, pelakon Gemersik Berbisik itu mengakui berani untuk berpenampilan seksi selari dengan konsep fotografi seperti yang ditetapkan produksi.
“Kenalah berani untuk tampil berbeza. Apatah lagi ini untuk karier saya juga kan. Saya pun mahu cuba sesuatu yang berbeza dan cabar diri.
“Sekali sekala kena cuba berpenampilan begitu. Cuma ada limitasi seksi. Kalau tidak berlengan itu tidak lah. Tetapi ramai sahaja yang seksi kan.
“Lebih-lebih lagi, ini untuk tujuan promosi global. Jadi mestilah kena berbeza dan berani,” katanya.
Menjawab tuduhan tidak sensitif, Elisya berkata, setiap hantaran berkaitan kerja mempunyai tarikh muat naik yang ditetapkan oleh klien.
“Itu adalah tuntutan kerja. Saya perlu muat naik mengikut tarikh yang ditetapkan. Mereka sudah susun lama setiap hantaran itu.
“Saya pun bukan seorang yang mempamerkan kebaikan yang dilakukan. Apa yang saya muat naik di media sosial adalah kerana kerja,” katanya