KUALA LUMPUR : Atas nama solidariti, kumpulan rock tempatan, Damasutra, turut menjalankan kutipan sumbangan Tabung Palestin sempena penganjuran Konsert 33 Tahun Damasutra yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, malam tadi.
Selain itu, Damasutra juga menghadiahkan lagu berjudul Impianku kepada penonton sebagai tanda memperingati perjuangan dan penderitaan rakyat Palestin yang kini turut mendapat perhatian dunia.
Menurut vokalis Damasutra, Baggio atau nama sebenarnya, Bahagia Daharun, 52, kutipan sumbangan yang dilakukan pada malam persembahan konsert sedikit sebanyak diharapkan dapat membantu mereka yang memerlukan di Gaza, Palestin.
“Menerusi pembelian tiket, di samping berhibur, sedikit sebanyak kita turut membantu memberi sumbangan kepada Tabung Palestin.
“Sebagaimana yang kita tahu, banyak saudara kita di sana sedang melalui keperitan dan kepayahan kerana peperangan dan sumbangan anda pada malam ini, walau sedikit atau banyak, kita akan salurkan kepada tabung tersebut.
“Secara umum, kami juga terharu dapat merealisasikan konsert ini. Kami anggap ini rezeki. Terima kasih buat semua peminat kerana telah menjadi tulang belakang kami selama 33 tahun perjalanan Damasutra dalam industri seni,”katanya.
Baggio berkata demikian semasa membuat persembahan pada konsert tersebut yang dihadiri hampir 1,000 penonton.
Selain itu, turut mengiringi persembahan Damasutra untuk lagu Impianku adalah latar belakang warna pencahayaan hijau, merah dan putih yang menjadi warna bendera Palestin serta tulisan ‘Free Palestine’ (Bebaskan Palestin).
Konsert 33 Tahun Damasutra telah dianjurkan oleh Ultimate Media dan dibarisi ahli kumpulan asal Damasutra iaitu Baggio, Amran (bass) dan Assu (drum).
Turut melengkapkan persembahan mereka pada malam semalam ialah pemain gitar baharu, Rizal yang menggantikan Allahyarham Alok selain John Boy (gitaris NRG) yang telah diundang untuk menjayakan konsert termasuk Nicole (pemain keyboard).
Sebelum Damasutra memulakan persembahan, pentas telah diambil alih oleh kumpulan D’Ultimate 6 bagi menghiburkan penonton menerusi persembahan pembukaan.
D’Ultimate 6 merupakan satu projek band yang dibarisi nama-nama besar dalam industri seperti Belle Fatah, Omar Akira, Paie Sembah Bum, Eddie CRK dan Uchop Ahmad yang menghiburkan penonton menerusi seleksi lagu rock nostalgia.
Mengiringi persembahan D’ Ultimate 6 ialah Alif Putra, pemain guitar yang dikenali sebagai Steve Vai Singapura.
Selain Impianku, Damasutra juga mempersembahkan lagu-lagu popular mereka antaranya Seribu Bayangan, Sufi dan Umpama Mimpi Dalam Mimpi.
Untuk info, kumpulan Damasutra menyambut ulang tahun ke-33 mereka selepas ditubuhkan pada 1990.